Mesyuarat MKT di Menara Dato' Onn, kelibat Rosmah turut kelihatan

Ridauddin Daud
Disember 8, 2022 13:04 MYT
Kehadiran Rosmah dipercayai bagi bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pascapembentukan Kabinet, Menara Dato' Onn kembali menjadi tumpuan apabila Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berlangsung malam ini.
Di sebalik barisan ahli MKT yang hadir, Datin Seri Rosmah Mansor turut kelihatan sekali gus menimbulkan persoalan kepada petugas media yang sudah 'berkampung' di lobi bangunan.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu tiba kira-kira jam 8 malam, diiringi seorang pengiring wanita sebelum terus menaiki lif.
Kehadiran beliau dipercayai bagi bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mempengerusikan mesyuarat MKT malam ini.
Selain Rosmah, pemimpin tertinggi parti yang dilihat hadir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin dan beberapa ahli MKT lain.
Antara ahli MKT lain yang hadir ialah Datuk Seri Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Ab Raof Yusoh (Pengerusi UMNO Melaka), Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Razali Ibrahim.
Selain itu, turut kelihatan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Ahmad Puad Zarkashi dan Datuk Dira Abu Zahar.
#Mesyuarat MKT UMNO #Rosmah Mansor #Kerajaan Perpaduan #Zahid Hamidi