Mesyuarat MKT UMNO: Ahmad Zahid perlu berjiwa besar, letak jawatan demi parti - Zahidi

Fareez Azman
Julai 7, 2021 07:31 MYT
Zahidi mendakwa 30 Ahli Parlimen UMNO telah bersetuju agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu meletak jawatan selepas terpalit dengan kes mahkamah. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu berjiwa besar seperti pemimpin-pemimpin parti itu sebelum ini untuk mengundurkan diri susulan beberapa kontroversi membabitkan beliau selain sedang berhadapan kes rasuah di mahkamah.
Dakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Zahidi Zainul Abidin, 30 Ahli Parlimen UMNO termasuk yang berstatus Menteri dan Timbalan Menteri telah bersetuju bahawa presiden parti itu perlu melepaskan jawatannya bagi memastikan UMNO tidak kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
"Zahid mencadangkan Ahli Parlimen UMNO, Menteri, Timbalan Menteri letak jawatan dan tarik sokongan daripada kerajaan.
"Jadi kita berbincang bersama Ahli Parlimen UMNO, kita letak jawatan parti untung ke? Zahid letak jawatan parti untung.
"Kalau kita letak jawatan, pertama sekali kita tiada peruntukan, pegawai-pegawai kita lantik berhenti kerja, kita kena menghadapi PRU-15 sebagai pembangkang, UMNO tidak pernah menghadapi PRU sebagai pembangkang, tidak pernah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Tambah Zahidi, Presiden UMNO itu akan dilihat berjiwa besar dan meletakkan jawatan seperti mana tindakan yang diambil beberapa pemimpin UMNO sebelum ini.
Ia katanya akan mengembalikan harapan dan sokongan rakyat kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
"Kalau Zahid letak jawatan,kita pastikan ramai rakyat akan sokong UMNO. Pemimpin UMNO dari dulu siapa ada kes mahkamah kita letak jawatan, untuk kita pastikan bahawa kita mengemukakan pemimpin yang bersih dan dapat sokongan rakyat kepada UMNO dan BN.
"Amalan kita dulu seperti Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, dia letak jawatan.
"Tiba-tiba Zahid tak letak jawatan? Sudah tentu dalam pilihan raya tiada yang menyokong UMNO, kalau dia letak jawatan sudah tentu rakyat akan kembali sokong UMNO lagi," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut Zahidi mendakwa keputusan untuk mendesak Ahmad Zahid untuk meletakkan jawatan telah disepakati lebih 30 Ahli Parlimen UMNO dalam satu mesyuarat di Wisma Pahlawan baru-baru ini.
Berhubung audio suara mirip Presiden UMNO itu yang tular dan dikaitkan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim jelasnya, beliau menyerahkannya kepada pihak-pihak terbabit untuk mengambil tindakan.
Malam ini, satu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan secara maya di Menara Dato Onn di ibu negara dipercayai antara lain bagi membuat keputusan sama ada parti itu akan keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya.
#Zahid Hamidi #UMNO #Barisan Nasional #pilihan raya #Rasuah #majlis tertinggi #pilihan raya umum #Malaysia #Ketua UMNO Bahagian #politik #Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi