POLITIK

Mesyuarat PH Sabah beri tumpuan khusus PRN

Bernama 03/07/2025 | 15:17 MYT
Saifuddin berkata, perbincangan memberi penekanan kepada penyelarasan jentera pilihan raya serta persefahaman antara kepimpinan negeri dan Pusat. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Sabah yang berlangsung di sini hari ini menumpukan kepada persiapan menyeluruh menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata perbincangan memberi penekanan kepada penyelarasan jentera pilihan raya serta persefahaman antara kepimpinan negeri dan Pusat dalam merangka strategi terbaik menjelang PRN Sabah.

"Apa jua keputusan yang bakal dimuktamadkan, sama ada dari segi strategi, calon mahupun manifesto, tumpuan dan arah tuju kita kekal jelas dan tegas iaitu kepentingan rakyat Sabah mesti kekal menjadi keutamaan," kata Menteri Dalam Negeri itu menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad, Pengerusi PH Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekali gus memberi laluan untuk PRN Sabah ke-17.

-- BERNAMA

#mesyuarat #Pakatan Harapan #Sabah #persiapan #pilihan raya negeri #Saifuddin Nasution Ismail