POLITIK

Mesyuarat PH Sabah tumpu tiga perkara utama - Saifuddin

Bernama 04/07/2025 | 08:30 MYT
Saifuddin berkata dalam mesyuarat itu, kesemua parti komponen PH bersetuju untuk mempunyai garis masa dalam menyelesaikan urusan pembahagian kerusi masing-masing. - Foto Bernama
KOTA BELUD: Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung di Kota Kinabalu semalam, menumpukan kepada tiga perkara utama dalam persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.


Ringkasan AI
  • PH menetapkan garis masa untuk rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Sabah ke-17, dengan penekanan agar persiapan dilakukan sebelum pembubaran DUN pada 11 November.
  • Fokus utama mesyuarat ialah pembentukan jentera pilihan raya yang mantap dan penyediaan manifesto, dengan Saifuddin Nasution menyatakan kepuasan terhadap kemajuan rundingan.
  • Mesyuarat turut dihadiri pimpinan utama PH Sabah, termasuk wakil Amanah, PKR, DAP dan UPKO, menunjukkan komitmen bersama dalam menghadapi PRN secara tersusun dan inklusif.


Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam mesyuarat itu, kesemua parti komponen PH bersetuju untuk mempunyai garis masa dalam menyelesaikan urusan pembahagian kerusi masing-masing.

"Mesyuarat juga bersetuju bahawa kita akan fokus kepada pembentukan jentera pilihan raya yang kuat dan mantap. Ia mesti berlaku sekarang, kalau (tunggu sehingga) Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar memang tidak sempat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sekolah Kebangsaan Kampung Pangkalan Abai di sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata perbincangan juga menumpukan kepada perincian manifesto PH dan beliau berpuas hati dengan kemajuan perundingan yang telah dicapai.

Beliau turut memberi jaminan akan sentiasa turun ke Sabah bagi memastikan semua keputusan dalam mesyuarat PH itu dilaksanakan.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad, Pengerusi PH Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud, Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe, dan Pengerusi Amanah Sabah Datuk Lahirul Latigu.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekali gus memberi laluan untuk PRN Sabah ke-17.

-- BERNAMA



#Mesyuarat Pakatan Harapan #PRN Sabah #Saifuddin Nasution #PH