Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
POLITIK

MIC di persimpangan bersejarah: Kekal dalam BN atau mencari haluan baharu? AGM jadi penentu

Umavathi Ramayah 15/11/2025 | 23:40 MYT
Vigneswaran sebelum ini ada mengakui parti itu ada melakukan perbincangan dengan PN selain sedang meneliti usul yang dicadangkan akar umbinya termasuk Kedah dan Pulau Pinang untuk keluar dari BN. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-79 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini menjadi medan penting bagi parti tertua mewakili komuniti India itu menilai hala tuju semasa serta memperincikan strategi baharu dalam landskap politik yang semakin mencabar.


Ringkasan AI
  • Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC di Pusat Konvensyen Ideal menilai hala tuju semasa dan strategi baharu dalam landskap politik yang mencabar.
  • MIC berdepan keputusan penting mengenai kedudukan dalam Barisan Nasional (BN) atau keluar sepenuhnya dan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
  • Kehadiran pemimpin MIC di majlis pembangkang menimbulkan spekulasi mengenai hala tuju politik parti, dengan keputusan usul yang akan diumumkan petang ini.


Dengan kedudukan parti yang tidak lagi berada dalam arus perdana kerajaan Persekutuan, AGM kali ini membawa signifikan tersendiri, baik dari segi perubahan dalaman mahu pun mesej politik kepada penyokong tradisi.

Dengan pengalaman politik hampir lapan dekad, parti itu seharusnya cukup matang untuk membuat keputusan bagi menjamin kelangsungan dan kemandiriannya.

Keputusan itu bukan sahaja menentukan kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN), tetapi juga berpotensi mengubah corak kerjasama politik mereka pada masa hadapan.

Pastinya, tumpuan utama persidangan hari ini adalah usul berkaitan masa depan MIC dalam BN, satu isu panas yang mencetuskan perdebatan sejak kebelakangan ini.

Malah 'ketegangan' dilihat memuncak apabila MIC tidak menjemput kepimpinan tertinggi BN, termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ke AGM kali ini.

Tindakan itu mungkin boleh dilihat sebagai isyarat jelas yang hubungan kedua-dua pihak berada pada tahap paling 'rapuh' dalam sejarah sejak penubuhan Perikatan dan seterusnya BN.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran sebelum ini ada mengakui parti itu ada melakukan perbincangan dengan Perikatan Nasional (PN) selain sedang meneliti usul yang dicadangkan akar umbinya termasuk Kedah dan Pulau Pinang untuk keluar dari BN.

Perkara itu dikuatkan lagi dengan kemunculan beberapa kelibat pemimpin kanan MIC juga dilihat majlis yang dianjurkan pembangkang.

Sebagai contoh, Setiausaha Agung MIC, Datuk S Ananthan dan Setiausaha Eksekutif Pusat MIC, Datuk AT Kumararajah dilihat hadir di Perhimpunan Agung Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Selain itu, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan pada September lalu, menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan, Angkatan Bersatu Anak MUda (Armada) Bersatu.

Kehadiran mereka sekali lagi menguatkan spekulasi mengenai hala tuju politik MIC menjelang keputusan penting parti itu dalam AGM hari ini.

Keputusan usul dijangka diumumkan pada sesi petang berpotensi menjadi titik perubahan landskap politik.

Terdapat tiga kemungkinan yang mungkin akan diputuskan petang ini:
  1. MIC kekal dalam BN dengan syarat tertentu atau penstrukturan semula hubungan.
  2. MIC keluar sepenuhnya dari BN, menerima jemputan kerjasama daripada PN.
  3. Keputusan ditangguhkan kepada mesyuarat khas akan datang. Langkah ini hanya akan diambil jika perbahasan hari ini tidak mencapai kata sepakat.

Ucapan Presiden yang dijangka bermula 9.30 pagi ini, dilihat menjadi indikator penting sama ada MIC memilih pendekatan status quo atau bergerak ke arah agenda reformasi dan pengupayaan semula.

Adakah MIC akan bangkit sebagai suara lebih progresif dan agresif untuk komuniti India atau kekal dalam kerangka tradisi dengan pendekatan berhati-hati?

Segala kemungkinan kini terbuka dan keputusan petang ini bakal menentukan sama ada MIC memilih survival politik atau setia kepada legasi lampau.





#Barisan Nasional #India #MIC #Perikatan Nasional