Huru-hara yang tercetus di luar Ibu Pejabat MIC sebaik sahaja pintu pagar ibu pejabat MIC ditutup bagi menguruskan pencalonan Presiden MIC baharu baru-baru ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana MIC pernah mengalami suasana seperti itu sebelum ini.

Batu-bata, botol dan kayu dilaporkan berterbangan dari luar menuju ke arah para hadirin yang berkumpul di pekarangan ibu pejabat MIC untuk menyerahkan borang pencalonan bagi pertandingan Presiden MIC yang baharu.

Walaupun, berlaku kekecohan di luar, majlis pencalonan berjalan lancar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam diisytihar sebagai presiden MIC yang kesembilan apabila tidak ada pencalonan lain sehingga tamatnya tempoh masa pencalonan.

Krisis kepimpinan dalam MIC tercetus sejak parti itu mengadakan pemilihan untuk memilih jawatan-jawatan penting parti, iaitu tiga naib presiden dan 23 Ahli Jawatankuasa Tertinggi (CWC) dalam Mesyuarat Perwakilan Parti Yang ke 67 di Bandar Bersejarah Melaka pada bulan Disember 2013.

Keputusan pemilihan tiga jawatan naib presiden itu dilaporkan menimbulkan isu kerana jumlah undi dalam perkiraan pusingan kedua didapati lebih daripada jumlah undi pada pusingan pertama malah sebahagian besar ahli-ahlinya terkejut apabila mendengar pengumuman calon yang diumum menang dalam pusingan pertama diumumkan kalah dalam perkiraan pusingan kedua dengan berbezaan 77 undi.

Pihak yang kalah dalam pemilihan tersebut mengadu kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) mendakwa timbul penyelewengan dan mempertikai keputusan pemilihan dalam pemilihan MIC yang ke 67.


ROS dapati kebenaran dalam aduan

ROS yang menerima aduan tersebut telah mengambil masa yang cukup untuk menjalankan siasatan dan mendapati terdapat kebenaran dalam aduan yang diterima.

ROS akhirnya mengarahkan MIC mengadakan semula pemilihan untuk memilih tiga orang naib presiden dan 23 orang Ahli Majlis Tertinggi MIC dan sekiranya gagal, MIC akan menghadapi risiko pembatalan pendaftarannya.

Pada waktu itu, akhbar cetak dan media sosial telah menghebohkan berita kononnya pendaftaran MIC berkemungkinan akan dibatalkan.

Rentetan daripada notis ROS, MIC telah menghantar surat kepada ROS dan memohon penjelasan kandungan surat itu.

ROC pula menjawab pertanyaan MIC bahawa mereka mengambil tindakan berdasarkan Seksyen 16 (1), Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966 di mana terbukti wujud keraguan di dalam pemilihan MIC yang ke 67.

MIC kemudian memohon ROS melanjutkan tempoh masa bagi MIC menjelaskan kepada ROS mengenai arahan ROS untuk mengadakan semula pemilihan bagi mengelakkan pembatalan pendaftaran MIC atau ‘deregistration’.

Tindakan Datuk Seri G.Palanivel selaku Presiden MIC pada waktu itu dilihat sebahagian besar ahli-ahli MIC sebagai satu langkah yang tidak akan membantu menyelesai kemelut yang dihadapi parti dalam masa yang terdekat, malah akan mengambil masa yang berpanjangan.

Sebahagian besar ahli MIC bimbang krisis dalaman parti akan masuk ke tahap yang lebih rumit. Malah, Ketua Pemuda MIC secara terbuka mendesak Presiden MIC berundur dari jawatannya kerana tidak lagi berupaya untuk menyelesaikan kemelut MIC seperti disarankan ROS.

Susulan tindakan Palanivel, Datuk Seri Dr Subramaniam selaku Timbalan Presiden MIC telah menganjurkan mesyuarat khas dan menubuhkan jawatankuasa kerja sementara untuk mengambil alih urusan pentadbiran MIC di peringkat pusat sehingga pemilihan baharu dilakukan oleh MIC seperti diarahkan oleh ROS.

Sementara itu, Palanivel dan dua naib presiden MIC serta setiausaha agung MIC memfailkan permohonan 'semakan kehakiman' di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan arahan ROS.

Mahkamah kemudian bukan sahaja menolak permohonan Palanivel malah mengekalkan keputusan bahawa MIC perlu mengadakan pemilihan baharu di bawah pengelolaan barisan kepimpinan parti serta CWC yang dilantik pada tahun 2009 yang dirujuk sebagai CWC Interim.

Jadi, CWC Interim dipertanggungjawabkan untuk mengurus hal-hal parti MIC termasuk mengendalikan pemilihan semula.


Kekecewaan Palanivel

Palanivel yang kecewa dengan keputusan ROS dan mahkamah telah membuat kenyataan umum kononnya ada campur tangan luar dalam pengurusan parti MIC.

Kenyataan Palanivel menimbulkan pelbagai tanggapan dan tafsiran dalam kalangan ahli MIC terhadap peranan ROS serta Kerajaan.

Walaupun ROS bertindak secara bebas bersandarkan kepada undang-undang yang sedia ada (Akta Pendaftaran Pertubuhan 1966), kenyataan Palanivel menimbulkan pelbagai reaksi dan persepsi termasuk bahawa ROS tidak berlaku adil terhadap ahli MIC.

Sesungguhnya, tindakan mengheret ROS ke Mahkamah Tinggi oleh Palanivel menjadi punca beliau hilang keanggotaannya di dalam parti bersandarkan kepada Artikel 91 Perlembagaan MIC yang dengan jelas menyatakan bahawa seorang ahli akan hilang keanggotaannya secara tersendiri (ipso facto) sekiranya membawa MIC ke mahkamah tanpa rujuk kepada CWC terlebih dahulu.

Dengan itu, mesyuarat CWC yang bersidang dan dipengerusikan oleh Subramanian selaku Timbalan Presiden telah membuat keputusan bahawa Palanivel hilang keahliannya di bawah Artikel 91 Perlembagaan MIC dan ROS telah dimaklumkan mengenai keputusan CWC ini.

Di sebalik itu, mesyuarat CWC MIC yang dipengerusikan Palanivel sepakat meluluskan resolusi menolak penggunaan Artikel 91 Perlembagaan MIC yang melucutkan jawatan beliau selaku presiden kerana artikel itu hanya untuk melarang ahli daripada pergi ke mahkamah untuk mencabar CWC berkenaan hak, tanggungjawab dan keistimewaan seorang ahli.

Sambil polemik mengenai Artikel 91, berlegar dalam kalangan ahli-ahli MIC, Subramaniam dan penyokongnya meneruskan tindakan untuk mengesahkan keputusan yang melucutkan keahlian Palanivel malah menyediakan platform untuk menepati arahan ROS.

Seperti peribahasa 'kusut di hujung lari ke pangkal', kedua-dua pihak telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran untuk menunjukkan kekuatan masing-masing malah mengadakan acara pencalonan bagi pemilihan cawangan dan presiden parti.

Sebelum Subramaniam diisytihar menang tanpa bertanding sebagai Presiden MIC, Palanivel juga membuat pengumuman bahawa beliau juga telah dilantik sebagai Presiden MIC baharu oleh majoriti cawangan MIC seperti yang disarankan ROS, tanpa mengambil kira faktor beliau telah pun dilucutkan keahliannya oleh CWC Interim yang disahkan ROS.

Namun, pengumuman kedua-dua tokoh MIC tersebut sebagai presiden MIC menimbulkan persoalan siapakah presiden MIC yang sah dan diiktiraf oleh ROS dan Kerajaan?


Subramanian sah jadi presiden MIC

Sebahagian besar ahli MIC menganggap Subramaniam sebagai Presiden MIC yang sah dan diiktiraf kerajaan kerana Palanivel telah gugur daripada Kabinet kepimpinan kerajaan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Secara konvensyennya, presiden parti komponen BN akan diberi keutamaan menyertai Kabinet kerajaan.

Persoalannya, apakah pemilihan Subramaniam sebagai Presiden MIC baru-baru ini dalam pemilihan yang tidak disertai oleh penyokong Palanivel akan menamatkan krisis MIC secara muktamad dan perlantikannya diterima semua pihak?

Apakah MIC mampu memulihkan imej MIC sebagai sebuah parti yang mendapat sokongan padu majoriti kaum India seperti kedudukannya pada zaman kegemilangannya di mana MIC mencatat kemenangan 100 peratus berturut-turut dalam pilihan raya umum (PRU)?

Pada hemat saya, pergolakan dalam MIC akan berterusan sehingga Najib, selaku pemimpin BN, tampil ke hadapan untuk menyelesaikan isu antara dua kumpulan yang berbalah dan di mana masing-masing tidak mahu mengaku kalah.

MIC pernah menyaksikan suasana seperti ini pada tahun 1973, apabila Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak campur tangan untuk memberi nasihat kepada Presiden MIC pada ketika itu, Tun Sambanthan -- yang juga seorang tokoh yang menandatangani dokumen kemerdekaan bagi pihak kaum India -- supaya berundur daripada jawatan presiden MIC kerana semakin terhakis sokongan dalam kalangan majoriti ahli MIC.

Selain itu, presiden baharu perlu memfokuskan perhatian kepada usaha merapatkan jurang perbezaan pendapat antara kedua-dua puak yang bertembung sejak tercetusnya krisis ke arah penyatuan selain menghidupkan semula jentera MIC yang terbiar kerana menghabiskan masa untuk ‘politicking’ sejak tahun 2013, melatih dan melengkapkan pemimpin dan penggerak parti di akar umbi dengan maklumat-maklumat untuk menangkis semua tohmahan, tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap kerajaan BN menjelang menghadapi PRU ke-14 nanti.

Malah, pemimpin berkenaan perlu menjalankan latihan kepimpinan dan 'gerak saraf' untuk pemimpin-pemimpin MIC yang beroperasi di akar umbi seperti dijalankan oleh UMNO di Kem Latihan di Janda Baik.

Presiden harus meletakkan Pemuda MIC di barisan hadapan sebagai penggerak untuk mencorakkan MIC, bukan sahaja sebagai aset kepada BN, malah menjamin MIC terus relevan.

___________________________________________

*M.Periasamy merupakan penganalisis politik MIC dan pensyarah komunikasi strategik di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR)

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.