KUANTAN: Usul supaya tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan MIC 2024 antara lapan resolusi yang dipersetujui pada Konvensyen MIC negeri Pahang ke-77 di Bentong hari ini.

Pengerusi MIC Pahang V. Arumugam berkata gandingan Presiden Tan Sri S.A. Vigneswaran dan Timbalannya Datuk Seri M. Saravanan cukup berwibawa dalam mengemudi parti, menjadikan akar umbi mahu mereka dikekalkan untuk perpaduan dalam MIC.

Beliau berkata MIC Pahang juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Vigneswaran untuk terus mengemudi dan menjayakan agenda pemerkasaan parti serta masyarakat berdasarkan pelbagai perubahan positif sejak beliau menerajui kepimpinan MIC Kebangsaan.

Menurutnya konvensyen yang dihadiri 250 perwakilan dari seluruh Pahang itu turut mencadangkan pemansuhan Artikel 58.2.A perlembagaan parti yang menetapkan bahawa seseorang hanya boleh menyandang jawatan presiden untuk tiga penggal berturut-turut.

"MIC Pahang berpendapat artikel itu tidak lagi tepat dan relevan kepada kepimpinan presiden (Vigneswaran) yang giat melaksanakan pelbagai agenda transformasi dan ia perlu berterusan tanpa sebarang cabaran atau sekatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Arumugam berkata MIC Pahang mencadangkan supaya usul memansuhkan Artikel 58.2.A itu dapat dibentangkan pada Perhimpunan Agung MIC tahun ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya memohon peluang kerjaya di agensi kerajaan negeri dibuka kepada lebih ramai pemohon kaum India yang berkelayakan.

"MIC Pahang juga memohon supaya peserta daripada kaum India diberikan peluang menjadi peserta rancangan tanah dan pertanian pada kadar sewajarnya," katanya.

-- BERNAMA