Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan membuat keputusan esok, mengenai status pemilihan semula pucuk pimpinan parti MIC oleh kumpulan pro kepada Datuk Seri S. Subramaniam.

Pengarah Strategik MIC Kebangsaan, K. Ramalingam berkata, perkara itu diumumkan Penolong Pengarah ROS, Rosliza Mahidi dalam pertemuannya dengan beberapa wakil kumpulan yang menyokong Datuk Seri G. Palanivel.

Menurutnya, Rosliza memaklumkan kepada mereka dalam pertemuan petang rabu, bahawa ROS akan meneliti lebih 1,500 aduan yang dibuat berhubung pemilihan itu.

"Hari ini kami tidak dapat berjumpa dengan Pengarah atau Timbalan Pengarah tetapi Penolong Pendaftar RoS telah menerima aduan kita dan telah berkata beliau akan memberikan satu keputusan pada 3 petang Khamis.

"Kami diminta untuk hadir pada pukul 3 petang untuk satu mesyuarat bersama dengan pegawai-pegawai RoS esok," kata Ramalingam ketika dihubungi Astro Awani, hari ini.

Beliau berkata lebih 100 ketua cawangan MIC serta beberapa ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC hadir ke pejabat ROS untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai pencalonan Presiden MIC yang akan diadakan oleh kem Subramaniam pada Jumaat ini

"Kami telah membuat protes mengenai pencalonan dengan mengemukakan aduan mengenai penyalahgunaan kuasa dalam proses pencalonan cawangan yang diadakan oleh kem Subramaniam.

"Untuk memberhentikan pencalonan pada Jumaat ini, kami telah memberitahu kepada RoS apakah penyalahgunaan yang telah dibuat oleh jawatankuasa interim 2009 yang ditubuhkan oleh Subramaniam. Kami juga telah meminta penangguhan terhadap pencalonan ini dibuat oleh RoS mentara menunggu penyiasatan aduan-aduan yang telah dibuat," ujarnya.

Kumpulan yang pro kepada kem Palanivel itu tiba di pejabat ROS di Putrajaya, kira-kira jam 2.30 petang, namun gagal untuk bertemu dengan Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Namun, selepas berlaku sedikit kekecohan, hanya Ramalingam, Ketua Badan Perhubungan MIC Perak, Tan Sri S Ramasamy, Ketua Penerangan MIC, l. Sivasubramaniam, ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), K. P. Samy dan Timbalan Pengerusi Kedah, M.L. Maran dibenarkan masuk dan berjumpa dengan Rosliza.