Malaysian Indian Congress (MIC) sudah bersedia hadapi pilihan raya ke-14 (PRU14) dengan pimpinan yang lebih bersatu dari dahulu.

Presiden MIC Datuk Seri Dr Subramaniam berkata, MIC telah memulakan program di peringkat akar umbi untuk menghubungi lebih 300,000 ahli biasa.

MIC turut menyatakan hasrat untuk bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU14 nanti.

"Kita akan berbincang dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan ada kemungkinan kerusi MIC akan dipindahkan ke kawasan lain," katanya dalam sidang media bersempena Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Pada PRU13, BN memenangi 133 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dengan MIC menyumbangkan empat kerusi.

Terdahulu, Dr Subramaniam dalam ucapan dasarnya berkata melalui 11 Pelan Tindakan Pembangunan MIC, parti itu kini dalam proses mendekati masyarakat melalui pelbagai program dengan keutamaan kepada isu berkaitan generasi muda atau belia.

Berucap sewaktu majlis perasmian mesyuarat agung MIC ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini, Subramaniam berkata MIC akan menubuhkan 500 cawangan baru sebelum Disember.

"Semua cawangan akan diketuai oleh graduan-graduan. Ini sebahagian program peremajaan yang dilakukan MIC," kata Dr Subramaniam.

Perhimpunan Agung MIC ke-70 telah dirasmikan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Dr Subramanian yang juga Menteri Kesihatan berkata BN juga perlu melabur lebih banyak dalam mengukuhkan penggunaan media sosial dalam memerangi persaingan persepsi pada PRU14 nanti.

Menyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai 'ibu segala pilihan raya umum", beliau mahu transformasi dalam semangat BN dilaksanakan untuk mengukuhkan konsep perkongsian kuasa antara pelbagai kaum bagi mempertahankan gabungan kepimpinan yang sudah 60 tahun mentadbir negara.