'MIC tidak akan minta maaf, kembalikan semangat Perikatan' - Vigneswaran

SA Vigneswaran memberitahu, MIC tidak akan meminta maaf kerana membuat pilihan untuk memperkasakan masyarakat India. - Foto MIC
SHAH ALAM: MIC menegaskan parti itu tidak akan memohon maaf kepada Barisan Nasional (BN) atas keputusan untuk meneroka kerjasama 'politik baharu' atau penjajaran strategik yang dianggap penting untuk kelangsungan masyarakat India, kata Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran.
Ringkasan AI
- MIC menegaskan tidak akan memohon maaf kepada Barisan Nasional (BN) berhubung keputusan meneroka kerjasama politik baharu yang dianggap penting untuk masyarakat India.
- Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, menyatakan parti mungkin meninggalkan gabungan tradisional sebelum ini di bawah Perikatan dan bertukar nama kepada BN, tetapi keputusan muktamad akan dibuat selepas perbincangan dalam AGM.
- Vigneswaran menegaskan langkah MIC bukanlah penolakan terhadap BN tetapi tindakan rasional berdasarkan realiti politik semasa yang dinamik, memecah-belah, dan tidak terikat kepada struktur tradisional.
Vigneswaran menjelaskan, langkah itu bukan satu bentuk penolakan terhadap BN, sebaliknya satu tindakan rasional, berasaskan analisis realiti politik hari ini yang semakin dinamik, memecah-belah dan tidak lagi bergantung kepada struktur gabungan tradisional semata-mata.
"MIC tidak akan meminta maaf kerana membuat pilihan untuk memperkasakan masyarakat kita.
"Kami juga tidak akan gentar dengan mana-mana naratif yang cuba 'membataskan' pergerakan politik kami (MIC).
"Perikatan di bawah tiga tokoh, Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan (gabungan) tidak dibina atas desakan, tetapi atas persahabatan.
"Bukan atas kuasa, tetapi atas prinsip. Bukan atas dominasi, tetapi atas maruah.
"Perikatan itulah yang memberi kita kemerdekaan. Ia memberi kita identiti. Ia memberi kita tanah air bernama Malaya kemudiannya Malaysia," katanya pada AGM yang dihadiri 1,808 perwakilan dari seluruh negara.
Dalam ucapannya itu, Vigneswaran turut menyatakan rasa tidak puas hari yang disifatkan sebagai wujudnya 'double standard', ketika menerokai kerjasama politik baharu, sedangkan tindakan sama parti-parti lain dipuji sebagai reformasi atau strategi perpaduan.
"Apabila Pakatan Rakyat ingin bekerjasama dengan Pas, ia dipuji sebagai 'reformasi'. Apabila UMNO bekerjasama dengan Pas, ia disebut sebagai 'penyatuan ummah'.
"Tetapi apabila MIC hanya mempertimbangkan untuk berhubung dengan Pas, tiba-tiba ia menjadi isu. Tiba-tiba ia tidak dapat diterima. Tiba-tiba MIC diminta untuk berdiam dan terkurung dalam batas politik yang ditetapkan orang lain.
"Apabila parti lain mencari sekutu untuk kelangsungan dan strategi survival, ia dianggap langkah strategik. Tetapi apabila MIC hanya mempertimbangkan kerjasama baharu, kita pula dipersoalkan," tegasnya.
Vigneswaran turut menegaskan langkah UMNO bekerjasama dengan PKR dan DAP pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 merupakan keputusan unilateral parti itu yang dibuat demi kelangsungan masa depannya sendiri, bukan keputusan BN secara konsensus.
Menurutnya, UMNO jelas mengambil pendirian strategik apabila memilih untuk bekerjasama dengan bekas seterunya, namun keputusan tersebut dibuat tanpa sebarang rundingan atau libat urus dengan dua lagi komponen BN, iaitu MIC dan MCA.
Kata beliau, tiada kepimpinan yang bijak akan mengambil keputusan yang tidak popular dalam gabungan dan mendedahkan rakan-rakan kepada risiko, melainkan ia didorong sepenuhnya desakan terhadap kedudukannya sendiri.
"Ia adalah keputusan UMNO semata-mata, tanpa rundingan dengan MIC atau MCA.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


