SEREMBAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker dilantik sebagai ketua pembangkang Negeri Sembilan yang baharu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggantikan ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad yang dilantik sebagai ketua pembangkang pada 9 Oktober tahun lalu.

Setiausaha PN Negeri Sembilan, Muhammad Noraffendy Salleh berkata, pelantikan itu selaras dengan jawatan Mohamad Hanifah sebagai pengerusi PN negeri.

"Ia selaras dengan penstrukturan semula PN Negeri Sembilan, maka Mohamad Hanifah dengan ini diberi tanggungjawab dan amanah sebagai ketua pembangkang yang baharu," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Untuk rekod, Mohamad Hanifah dilantik sebagai pengerusi PN Negeri Sembilan pada 29 Januari lalu bagi menggantikan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Selain itu katanya, PN negeri juga bersetuju melantik lima ADUNnya untuk memantau portfolio exco negeri.

Tambahnya, ia bertujuan untuk semak dan imbang terhadap keberkesanan tadbir urus yang baik kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. - Sinar Harian