Momentum, sokongan padu rakyat bekalan BN Semporna - Ramlee Marahaban

Ruzaini Zulkepli
April 27, 2018 13:17 MYT
RAMLEE bersama tiga calon DUN BN Semporna bersempena taklimat calon-calon BN Semporna di Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Senallang, di Dewan Inabah Kamal, Semporna, pada Jumaat.
Momentum dan sokongan padu rakyat Semporna akan menjadi bekalan mencukupi untuk Barisan Nasional (BN) bahagian itu berdepan pembangkang terutama Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Calon kerusi Parlimen Semporna Datuk Ramlee Marahaban berkata, rakyat pasti akan terus menyokong beliau dan calon-calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu pada PRU14 kali ini bagi memastikan Semporna kekal kubu kuat BN.
Selain Ramlee, BN menurunkan Datuk Seri Nasir Tun Sakaran bagi DUN Senallang; Datuk Harman Mohamad (DUN Sulabayan) dan Datuk Razak Tun Sakaran (DUN Bugaya).
"Saya melihat sokongan rakyat kepada BN masih ramai dan keadaan ini akan berterusan sebab semangat yang begitu menebal, semangat BN yang mereka terjemahkan pada hari ini hingga ke hari kemuncak esok dan 9 Mei nanti.
"Ini yang kita nampak perubahan lanskap yang begitu mendadak, sebab itu saya nyatakan kita tidak gentar berhadapan dengan sesiapa pun pada pilihan raya umum kali ini sebab atas keyakinan kita bersama jentera-jentera BN, semuanya semangat memuncak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat calon-calon BN Semporna di Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Senallang, di Dewan Inabah Kamal, Semporna, pada Jumaat.
Sementara itu, calon DUN Senallang yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Nasir yang turut ditemui berkata dakwaan ramai rakyat Semporna menyokong Warisan, adalah tidak berasas sama sekali memandangkan pengundi di daerah ini lebih memilih kepada parti bukannya individu.
"Itu hanya dakwaan di pihak Warisan, yang menyokong dan menentukan ialah rakyat. Telah terbukti, sokongan rakyat ini adalah kepada parti dan bukannya kepada individu.
"Kita yakin bahawa sokongan-sokongan yang diberikan pada masa lepas itu bukanlah atas pengaruh peribadinya (Mohd Shafie), ia adalah sokongan rakyat kepada BN," katanya.
#Barisan Nasional #Bugaya #Harman Mohamad #Malaysia Memilih #momentum #Nasir Tun sakaran #Ramlee Marahaban #Razak Tun Sakaran #Semporna #Senallang #Shafie Apdal #sokongan padu #sulabayan #Warisan