KUCHING: “Saya tegaskan di sini, itu tidak benar. Saya masih teguh sebagai wakil rakyat DAP serta Pakatan Harapan’’.

Demikian penegasan Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol ketika mengulas khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan Perikatan Nasional (PN).

Kata Mordi, beliau tidak akan melompat parti walaupun keadaan itu seakan menjadi ‘norma baharu’ politik negara ketika ini.

Bagaimanapun beliau yakin setiap individu mempunyai alasan tersendiri atas tindakan yang diambil sama ada untuk terus kekal bersama parti mahupun melompat ke blok sebelah.

“Lompat parti antara norma baru yang masih dikecam tetapi tetap rancak dalam politik di negara kita hari ini. Ini mencerminkan bukan sahaja ketidakstabilan politik Malaysia malah ketidakstabilan prinsip wakil rakyat hari ini.

“Saya akan terus bersuara dan berkhidmat untuk rakyat yang saya wakili terutamanya di Mas Gading. Masalah kesihatan sedikit mengganggu prestasi saya tapi bukan prinsip saya. Saya terlibat dalam politik bukan atas dasar minat, tapi tanggungjawab dan yang menghantar saya ke Parlimen adalah rakyat Mas Gading," jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mordi tidak menolak kemungkinan bahawa isu peruntukan khas dijadikan faktor utama yang menyumbang kepada situasi politik semasa.

Malah jelasnya, ia dijadikan sebagai modal untuk menarik sokongan daripada wakil rakyat untuk menyertai blok kerajaan.

“Dari dulu hinggalah sekarang, hanya wakil rakyat blok kerajaan sahaja akan menerima peruntukan tersebut, tapi tidak blok pembangkang. Maka itulah salah satu modal yang digunakan untuk memancing wakil-wakil rakyat daripada blok pembangkang,” kata Mordi.

Menyedari ‘gelora’ politik Malaysia melanda komponen PH, namun 41 ahli parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) katanya terus utuh mempertahankan parti.

Bagi Mordi pendiriannya tetap satu, untuk terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti dan mempertahankan mandat yang diberikan oleh rakyat.