Muafakat Nasional: UMNO hanya bertepuk sebelah tangan - Zahid

Fareez Azman
Disember 6, 2021 04:54 MYT
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam entri Facebooknya pada Isnin menjelaskan bahawa UMNO hanya bertepuk sebelah tangan dalam mempertahankan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata parti itu hanya bertepuk sebelah tangan dalam mempertahankan Muafakat Nasional (MN).
Jelas Ahmad Zahid, meskipun UMNO telah berusaha mengekalkan MN terutama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, Pas menolak pelawaan parti itu untuk bekerjasama.
"MN di atas landasan perjuangan yang sama iaitu keinsafan untuk berpadu menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman. UMNO telah berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam PRN Melaka, namun bertepuk sebelah tangan.
"Pimpinan Pas sering menyatakan menyokong MN, tetapi di Melaka menolak pelawaan UMNO untuk berpadu atas nama MN. Pimpinan Pas membuat keputusan untuk bergandingan dan bersama PPBM (Bersatu) yang diketahui tujuannya menjatuhkan UMNO.
"UMNO namun menghormati pendirian dan hak pimpinan Pas untuk bersama PN itu kerana inilah sebuah negara demokrasi. Malah UMNO tidak pernah mengarahkan Pas tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai," jelasnya dalam entri terbaharu di Facebooknya pada Isnin.
Muafakat seharusnya bawa berkat
Tambah Ahmad Zahid, UMNO perlu bijaksana dalam mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung dengan tipu daya.
Malah tambahnya lagi, muafakat seharusnya membawa berkat dan tidak sesekali mengundang padah terhadap mana-mana pemegang taruh.
"Muafakat biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas UMNO.
"Sejarah ketamadunan mengajar bahaya musuh dalam selimut licik mengambil kesempatan atas kenaifan melakukan kemusnahan.
"Kerana itu UMNO perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya. Mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya UMNO tidak mematuhi piagam merupakan alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik," jelasnya.
MN asal dibina atas keikhlasan
Jelas Presiden UMNO itu lagi, seseorang yang bergelar ulama seharusnya mengikut 'nas' yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik.
Ujarnya, tindakan itu dilihat hanya untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah dan akhirnya membawa kepada musibah kepada rakyat dan negara.
"Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut 'nas' yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.
"Natijah gagal menilai itu sangat tidak baik terhadap UMNO, malah musibahnya jauh lebih berbahaya kepada rakyat dan negara," jelasnya lagi.
Ujar Presiden UMNO itu lagi, parti itu mempercayai MN yang asal adalah sebenar benarnya muafakat yang dibina atas keikhlasan.
Malah ia sebagai landasan perjuangan dalam menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman jelasnya.
"Tetapi ketahuilah, UMNO sedari awal telah pun berada dalam sebuah kemuafakatan rakyat iaitu Barisan Nasional (BN). Semangat perpaduan di negara kita itu hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat demi negara tercinta.
"Hidup muafakat membawa berkat, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat yang jujur. Biar fakta berbicara," katanya lagi.
#Barisan Nasional #Zahid Hamidi #PPBM #UMNO #pilihan raya #perpaduan #PAS