[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
POLITICS

Muda Bantu PSM di PRK Ayer Kuning

Amirul Aiman 23/03/2025 | 02:00 MYT
Wakil Parti MUDA dan PSM dijangka berganding bahu dalam kempen PRK Ayer Kuning dengan membuka bilik gerakan bersama serta mengetengahkan isu berteraskan rakyat.
KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyatakan sokongan terhadap hasrat Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning yang dijadual berlangsung pada 26 April.
Muda memaklumkan mereka akan mula bekerjasama dengan PSM dalam kempen pilihan raya, termasuk membuka bilik gerakan di Ayer Kuning dalam masa terdekat.
"Keputusan ini memberi peluang kepada rakyat untuk memilih alternatif selain dua gabungan utama yang mendominasi politik negara.
"MUDA menghormati pendirian PSM dan menyokong usaha memperjuangkan postik berprinsip yang berpaksikan rakyat, khususnya dalam isu kos sara hidup, keadilan sosial, perumahan, alam sekitar, serta hak pekerja dan masyarakat terpinggir," menurut kenyataan Biro Politik MUDA, pada Ahad.
Tambah Muda, mereka terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang berkongsi aspirasi membina landskap politik yang lebih adil dan progresif.
Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan, sebelum ini mengesahkan bahawa jawatankuasa pusat parti telah bersetuju menyokong hasrat PSM Perak untuk bertanding di kerusi tersebut.
Menurut Arutchelvan, keputusan untuk bertanding dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk pengalaman PSM yang pernah bertanding di kerusi tersebut dalam pilihan raya umum lalu.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Ishsam Shahruddin dari UMNO, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Allahyarham memenangi kerusi Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.
#muda #PSM #PRK Ayer Kuning #pilihan raya