MUDA cabar Menteri Dalam Negeri, RoS berhubung pendaftaran parti

Bernama
April 26, 2021 23:05 MYT
Syed Saddiq bersama kira-kira 50 penyokong MUDA menggunakan payung hitam sebagai simbolik menuntut kelulusan pendaftaran sebagai parti politik daripada RoS di Putrajaya, 21 Dis, 2020. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu pada Isnin memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang masih belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik.
Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini menerusi firma guaman Sreenevasan dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus untuk responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan pemohon terhadap keputusan RoS pada 6 Jan lepas yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah berkenaan.
Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.
Pada 4 Feb lepas, MUDA menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada RoS dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September tahun lepas oleh Syed Saddiq yang merupakan bekas Ketua Armada Bersatu, namun ditolak RoS pada Januari lepas.
-- BERNAMA
#mahkamah #muda #semakan kehakiman #Menteri Dalam Negeri #ros #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #rayuan #daftar #parti politik #Sreenevasan #perintah mandamus #surat rayuan #permohonan ditolak #ganti rugi