KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersetuju untuk menyokong Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghalang tindakan lompat parti.

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menerusi satu hantaran di Facebook peribadinya pada Rabu.

Loke memaklumkan setakat ini 91 Ahli Parlimen pembangkang telah menyatakan persetujuan untuk menyokong RUU Anti Lompat Parti.

"Saudara (Syed) Saddiq memberikan komitmen untuk menyokong RUU Pindaan Perlembagaan untuk menghalang tindakan lompat parti.

"Setakat ini, sudah ada 91 Ahli Parlimen (90 PH + 1 MUDA) yang menyatakan komitmen terbuka menyokong Pindaan Perlembagaan tersebut.

"Saya menyeru setiap parti yang mempunyai wakil di Parlimen untuk menyatakan pendirian mereka secara terbuka.

"Pindaan ini hanya akan berjaya dengan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat iaitu minima 148 ahli menyokong.


RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan ketika sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April nanti.

Pembentangan RUU Anti Lompat Parti ini merupakan salah satu persetujuan yang dicapai menerusi memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan.