KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengemukakan jumlah SD (Akuan Berkanun) yang diperoleh daripada Ahli-Ahli Parlimen sebagai bukti beliau mempunyai angka yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Menurut Muhyiddin, perkara itu perlu dibuktikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam usaha mendapat kepercayaan rakyat.

“Adalah sewajarnya beliau (Anwar Ibrahim) membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang telah ditetapkan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 20 November 2022 iaitu dengan mengemukakan surat-surat akuan berkanun majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Hari ini, Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar Ibrahim yang dikatakan mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat akan dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PN, di sini, hari ini.

Anwar wajar buktikan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat - Muhyiddin


Mengulas lanjut, Muhyiddin menegaskan, PN sebelum ini telah mempunyai majoriti yang kukuh untuk membentuk kerajaan selain menjadi Perdana Menteri ke-10.

Dalam masa sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kesemua dokumen sokongan juga telah diserahkan kepada pihak Istana Negara.

“Pada 20 November 2022, iaitu sehari selepas Pilihan Raya diadakan, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat telah menulis surat kepada Presiden-Presiden parti mengundang mereka untuk mengemukakan cadangan pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Cadangan ini mesti dikemukakan menerusi surat kepada Istana Negara dengan menamakan Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong pembentukan kerajaan gabungan dan menamakan calon Perdana Menteri yang disokong oleh Ahli-Ahli Parlimen tersebut.

“Pada hari yang sama, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat menulis satu lagi surat kepada Presiden-Presiden parti meminta supaya cadangan pembentukan kerajaan gabungan tersebut mestilah disertai dengan Surat Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Susulan itu, Perikatan Nasional telah menghantar surat daripada Setiausaha Agung Pas, Pengerusi GPS, Pengerusi GRS dan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang menyatakan persetujuan untuk membentuk kerajaan gabungan bersama Perikatan Nasional,” katanya lagi.

Jelas Muhyiddin, tarikh akhir penyerahan kesemua dokumen daripada pihaknya kepada Istana Negara adalah melalui e-mel dan aplikasi WhatsApp pada 21 November.

Turut dihantar ke Istana Negara ialah 114 Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen yang menyatakan kepercayaan tanpa syarat kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pelantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 telah berlangsung pada jam 5 petang tadi di lstana Negara.