[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
POLITIK

Muhyiddin jumpa 11 ketua parti pembangkang, bincang penubuhan barisan rentas parti

Astro Awani 19/07/2025 | 01:00 MYT
Muhyiddin (enam dari kanan) bergambar bersama ketua-ketua parti pembangkang pada majlis pertemuan yang diadakan di Kuala Lumpur, pada Jumaat. - Gambar Facebook Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bersama 11 ketua parti pembangkang pada Jumaat bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan dan persetujuan awal mengenai penubuhan barisan politik yang merentasi pelbagai parti pembangkang bagi memperkukuh suara semak dan imbang di dalam serta luar Parlimen.

“Barisan rentas parti ini dicadangkan agar semua parti pembangkang dapat mengambil pendirian bersama dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

“Alhamdulillah, semua pemimpin yang hadir memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap cadangan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, pandangan dan cadangan yang dikemukakan dalam pertemuan itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang akan datang.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut termasuk Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Turut serta ialah Presiden Parti Makkal Indian People (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali; Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan; serta Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz.

Hadir sama, Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Zamani Ibrahim; Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), Dr P. Ramasamy; dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy.








#Muhyiddin Yassin #ketua parti pembangkang #Perikatan Nasional #Bersatu