Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunannya sendiri, kata ahli veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh, yang juga dikenali sebagai Ku Li, berkata Muhyiddin masih memegang jawatan sebagai timbalan presiden UMNO dan boleh mengadakan perhimpunan selagi ia tidak melanggar undang-undang.

"Sesiapa sahaja boleh mengadakan perhimpunan yang mengikut undang-undang. Muhyiddin masih lagi timbalan presiden jadi beliau ada hak," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum "Islam in Constitutional Democracy" di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaysia, di sini pada Sabtu.

Muhyiddin dikatakan akan mengadakan satu perhimpunan bagi menyampaikan amanatnya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, pada Isnin, 7 Disember, bermula 8.30 malam.


Beliau sebelum ini mempersoal keputusan Majlis Tertinggi yang tidak membenarkannya untuk menyampaikan amanat kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

Katanya, tradisi yang diamalkan selama ini telah dinafikan, apatah lagi perhimpunan agung kali ini merupakan detik terpenting kepada parti.

Lantaran itu Ku Li menyifatkan ini tindakan tidak membenarkan Muhyiddin untuk menyampaikan amanatnya hanyalah menunjukkan UMNO tidak lagi mengamalkan tradisinya.

“Ini hanya perhimpunan sahaja. Apa yang penting adalah ucapan presiden. Itu yang akan dibincangkan. Ucapan orang lain hanyalah pandangan mereka.

"Saya rasa kepimpinan tinggi menyifatkan hanya pemimpin sayap sahaja yang boleh memberi ucapan kepada perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Ia hanya menunjukkan UMNO tidak mengamalkan lagi tradisi lamanya," tambah Ku Li.

Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO akan diadakan pada malam 8 Disember, sementara Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan selama tiga hari mulai 10 Disember ini.