Muhyiddin setuju dengan RUU355 atas dasar prinsip - Tuan Ibrahim

Hafiz Marzukhi
Mac 12, 2017 01:21 MYT
TUAN IBRAHIM: 'Atas dasar prinsip, beliau (Muhyiddin) sudah bersetuju ketika dalam pertemuan kami bersamanya. RUU 355 adalah mengenai pemerkasaan mahkamah syariah.' - Gambar fail
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah menyatakan persetujuan atas pelaksanaan Akta RUU 355, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Atas dasar prinsip, beliau (Muhyiddin) sudah bersetuju ketika dalam pertemuan kami bersamanya. RUU 355 adalah mengenai pemerkasaan mahkamah syariah.
"Jadi, saya tidak melihat apa masalahnya," kata beliau.
Selain itu, apabila ditanya tentang proses rundingan kerjasama antara parti tersebut dengan PAS, Tuan Ibrahim berkata tiada suatu jangka masa sudah ditetapkan bagi proses rundingan tersebut.
"Begitu juga dengan soal pembahagian kerusi. Tidak semuanya akan kami hebahkan kepada semua," kata beliau selepas ditemui di Makan Malam dan Dialog Politik bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Seri Iskandar di Setiawangsa pada Sabtu malam.
#Abdul Hadi Awang #Muhyiddin Yassin #PAS #RUU355 #syariah #Tuan Ibrahim Tuan Man