Muhyiddin Yassin bukan Najib Razak - Wan Ahmad Fayhsal

Rahimah Abdullah
Mac 11, 2023 04:45 MYT
Wan Ahmad Fayhsal mengingatkan perwakilan parti dan rakyat bahawa kes pendakwaan di mahkamah melibatkan Muhyiddin tidak sama dengan kes Najib. - Facebook / Armada Bersatu Malaysia
KUALA LUMPUR : Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengingatkan perwakilan parti dan rakyat bahawa kes pendakwaan di mahkamah melibatkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sama dengan kes Datuk Seri Najib Razak.
Tegasnya, kes melibatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu jauh berbeza dengan kes Najib yang terlibat dengan skandal kewangan terbesar dunia iaitu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ini bukan kali pertama beliau diuji. Saya nak ingatkan perwakilan dan semua rakyat Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bukan Najib Razak. Jauh sekali terlibat dengan skandal kewangan terbesar dunia seperti 1MDB. Orang Melayu lebih pandai menilai mana satu yang permata, dan mana yang kaca.
"Pendakwaan terpilih seperti yang berlaku ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya kerana dimotivasikan ketakutan melampau terhadap pengaruh Bersatu dan Perikatan Nasional dalam politik Melayu dan Bumiputera.
"Ia amat mendukacitakan,” katanya semasa berucap menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Armada Bersatu Malaysia sempena Perhimpunan Agung Armada Bersatu Malaysia di Menara PGRM, Cheras pada Sabtu.
BACA: Muhyiddin mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan
Beliau bagaimanapun percaya semangat juang presiden parti itu tidak akan luntur walaupun diuji dengan desakan politik yang diterima.
Armada Bersatu katanya mahu Muhyiddin kekal sebagai Presiden parti di sebalik kes pendakwaan yang sedang dihadapi pemimpin berkenaan.
“Kita akan pertahankan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal mengemudi Bersatu. Kita akan lawan kezaliman Anwar Ibrahim dan Kerajaan yang ada pada hari ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jauh dilihat lebih ‘suci’ oleh Kerajaan Perpaduan, sedangkan beliau juga menghadapi pertuduhan rasuah dan pecah amanah.
“Sedarlah, Ahmad Zahid akan selama-lamanya menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jika dulu, PH tidak mahu campur tangan dalam politik , kini jawapan Menteri Dalam Negeri cukup mendukacitakan. Mungkin dulu survival UMNO ialah untuk kepentingan orang Melayu.
Namun sekarang, survival UMNO adalah untuk kepentingan PH dan kelangsungan Anwar sebagai Perdana Menteri,”ujarnya.
#Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal #Armada Bersatu #Muhyiddin Yassin #Najib Razak