KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan mengambil alih kerajaan.
Menurutnya, tawaran itu dibuat ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia pada 2014 selepas beberapa pemimpin Pas dipelawa menghadiri pertemuan di Kedutaan AS.
Beliau berkata, pertemuan itu dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang ketika itu merupakan Setiausaha Politiknya, serta Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyandang jawatan Penolong Setiausaha Agung Pas.
Bagaimanapun, Abdul Hadi mendakwa kedua-dua pemimpin berkenaan tidak terpengaruh dengan tawaran tersebut.
“Amerika sanggup tolong. Alhamdulillah, dua-dua orang kita ini istiqamah, tidak terpengaruh,” katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu, hari ini.
Abdul Hadi mendakwa, Duta AS kemudiannya meminta untuk bertemu dengannya dan bertanyakan individu yang dicadangkan Pas sebagai Perdana Menteri.
“Saya kata, ‘Siapa Amerika setuju?’ Tergamam dia. Amerika Syarikat siapa dia? Itu jawapan saya,” katanya.
Beliau berkata, kisah berkenaan turut diceritakannya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan antara mereka.
Menurut Abdul Hadi, Dr Mahathir menyambut baik pendiriannya yang menolak sebarang campur tangan kuasa asing dalam menentukan kepimpinan negara.
“Dr Mahathir kata, ‘Wah, bagus’,” ujarnya ketika mengimbas pertemuan tersebut.
Abdul Hadi menegaskan, pihak asing tidak seharusnya mencampuri urusan menentukan kepimpinan negara, sebaliknya keutamaan perlu diberikan kepada usaha menangani perpecahan serta menyelesaikan krisis politik dalam negara.