POLITIK
Muktamar Pas: Kos pertahan satu kerusi Parlimen cecah RM1 juta - Sanusi

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika berucap sempena Muktamar Tahunan Pas di sini pada Selasa. - Foto Sinar Harian
ALOR SETAR: Kos mempertahankan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka mencecah sehingga RM1 juta pada masa akan datang sekiranya gagal menguasai penggunaan teknologi.
Ringkasan AI
- Kos mempertahankan satu kerusi Parlimen pada PRU16 dijangka mencecah RM1 juta, jika parti gagal menguasai teknologi dan masih bergantung kepada kaedah konvensional.
- Sanusi menekankan keperluan menguasai teknologi, media sosial dan alat kempen moden, kerana gerak kerja pilihan raya kini lebih kompleks dan memerlukan persiapan rapi.
- Beliau mengingatkan jentera parti supaya bersedia dari segi kewangan dan mengelak perbalahan dalaman, demi memastikan parti kekal relevan dan mampu bersaing.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu berkata, jumlah tersebut termasuk keperluan jentera parti, logistik, latihan petugas, dan penyediaan kelengkapan kempen yang semakin meningkat dari segi kos.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, gerak kerja pilihan raya kini menuntut persediaan yang jauh lebih rumit dan kompleks dengan pelbagai kaedah serta pendekatan yang digunakan berbanding sebelum ini, selain mengakui bahawa parti itu tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata.
“Inilah realiti politik semasa. Kalau kita tak buat persiapan awal, tak kuasai teknologi, media sosial, aplikasi dan alat kempen moden, kita akan ketinggalan,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama mengingatkan agar jentera parti di semua peringkat tidak mengambil ringan soal persiapan kewangan, sebaliknya perlu bersedia berkorban demi memastikan perjuangan parti terus relevan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan pemimpin Pas supaya tidak leka dengan perbalahan dalaman atau isu kecil sesama sendiri kerana cabaran sebenar datang daripada pihak lawan yang sedang menunggu peluang untuk melemahkan parti. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami