Muktamar penentu halatuju PAS

Irwan Muhammad Zain
Jun 3, 2015 23:50 MYT
Apa juga keputusannya, semua pihak perlu menghormatinya kerana ia adalah pilihan perwakilan PAS. - Gambar Fail
Hari ini akan bermula Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor dan bakal menyaksikan pemilihan anggota jawatankuasa kerja parti Islam itu untuk penggal 2015 hingga 2017.
Sejak beberapa bulan lepas, muktamar PAS kali ini mendapat perhatian pemerhati politik kerana ia dianggap sebagai penentu halatuju parti itu sama ada akan kekal dalam Pakatan Rakyat atau memilih untuk bersendiri.
Keputusan pemilihan untuk Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat seolah-olah memberi isyarat bahawa kumpulan pro-ulama atau cai dari kumpulan ulama bakal menguasai kepimpinan parti Islam itu. Penguasaan kumpulan ulama juga menimbulkan satu persoalan, apakah PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat.
BACA:
Pro ulama menang besar dalam pemilihan Dewan Pemuda PAS
Dewan Ulama PAS lulus usul tergempar tamat kerjasama dengan DAP
Umum mengetahui, dalam Pakatan Rakyat adanya DAP, sebuah parti yang dilihat sukar untuk bekerjasama dengan PAS. Selain DAP, sebuah lagi parti, PKR juga ada ketikanya mempunyai pandangan yang jauh berbeza dengan golongan ulama dalam PAS.
Hubungan PAS dan DAP merupakan yang paling jelas mengalami keretakan, ditambah pula apabila Dewan Ulama PAS pada muktamarnya semalam meluluskan dengan sebulat suara usul tergempar memutuskan kerjasama dengan DAP. Keputusan itu seolah-olah memberi isyarat, Pakatan Rakyat mungkin akan berpecah.
Selepas mendapat perhatian dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, hari ini, selepas perasmian Muktamar Tahunan kali ini, perwakilan PAS dari seluruh negara akan menentukan barisan kepimpinan PAS untuk tempoh dua tahun.
Hari ini, tumpuan akan tertumpu kepada keputusan pemilihan PAS. Apakah yang dimahukan oleh perwakilan PAS bakal terjawab esok. Apa juga keputusannya, semua pihak perlu menghormatinya kerana ia adalah pilihan perwakilan PAS.
#DAP #Muktamar PAS ke-61 #Pakatan Rakyat #PAS #PKR