Naib Ketua Pemuda UMNO Johor Datuk Khairul Anwar Rahmat hari ini melepaskan kesemua jawatannya dalam parti berkuat kuasa 11 Julai ini bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja kemasyarakatan dan memperluas operasi syarikatnya.

Khairul berkata beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dan Ketua Sekretariat Perundangan UMNO Malaysia.

"Serentak itu juga, pihak kami bakal meneruskan operasi firma Khairul Group ke Asia Barat dan Eropah yang tertangguh sebelum ini memandangkan Pengerusi kami (ketika itu) masih bergiat aktif dalam platform politik tempatan," kata Khairul dalam kenyataan menerusi syarikatnya Khairul Group di sini.

Khairul, yang juga Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), berkata langkah itu diharap dapat memberi manfaat kepada firma terutama bagi memuktamadkan beberapa rundingan dalam bidang hartanah, perundangan dan mediasi antarabangsa.

SukaGuam merupakan penganjur forum #NothingToHide baru-baru ini yang dianjurkan bagi membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Bagaimanapun, forum itu dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan.

Sementara itu, di KLUANG, Khairul berkata beliau akan menyerahkan surat peletakan semua jawatan dalam parti secara rasmi kepada ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur pada Isnin ini.

"Dalam perjumpaan dengan exco dan anggota Pemuda pagi tadi, mereka memahami keputusan saya, selepas memikirkan sedalam-dalamnya dan melakukan solat istikharah selain mendapat restu ibu dan keluarga untuk meneruskan perjuangan.

"Buat masa ini, saya tidak mahu keluarkan apa-apa kenyataan tambahan, saya cuma akan memegang jawatan ini sehingga 10 Julai dan peletakan berkuat kuasa pada 11 Julai," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota Pemuda UMNO Kluang petang ini.

Khairul berkata beliau juga dihubungi kepemimpinan parti selepas membuat pengumuman itu pagi tadi.

"Saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan, nasihat dan dorongan. (Bagaimanapun), saya akan teruskan perjuangan dalam bidang baharu," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau didesak sesetengah pihak untuk meletakkan jawatan, Khairul enggan mengulas lanjut.

Walaupun meletakkan jawatan parti, Khairul berkata beliau masih anggota UMNO.