POLITICS
Najwan cabar warisan Shah Alam, Altimet pertahan legasi Ampang
Altimet dan Mohd Najwan.
SHAH ALAM: Pemilihan Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor tahun ini bukan sekadar rutin dalaman, tetapi medan ujian kepercayaan akar umbi terhadap siapa yang layak meneruskan perjuangan Reformasi.
Ringkasan AI
- Pemilihan Cabang PKR di Selangor menjadi medan ujian kepercayaan akar umbi terhadap calon yang layak meneruskan perjuangan Reformasi.
- Di Shah Alam, Rodziah Ismail berdepan cabaran dari Mohd Najwan Halimi dan Noryzal Zainal. Di Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) mempertahankan jawatan berdepan Kamri Kamaruddin dan Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.
- Pengundian dijalankan secara digital melalui aplikasi ADIL dari 11 hingga 20 April 2025, menentukan hala tuju cabang dan kepimpinan PKR menjelang PRU16.
Di Shah Alam, tumpuan kini tertumpu kepada pertembungan antara dua figura besar iaitu penyandang Ketua Cabang, Rodziah Ismail, yang juga Ahli Parlimen Ampang, berdepan cabaran daripada Exco Belia dan Sukan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik.
Najwan tampil bukan sekadar untuk bertanding, tetapi membawa agenda pemulihan dan penyusunan semula kekuatan cabang. Beliau berikrar menyatukan serta menggerakkan semua ranting PKR di Shah Alam yang selama ini dianggap tidak aktif sepenuhnya.
“Kami mahu menyelaras kekuatan seluruh Shah Alam, memperkukuh ranting, memperkasa ahli bukan sahaja dari sudut kebajikan tetapi juga ekonomi dan sosial. Ini masa untuk memulihkan kembali semangat perjuangan di cabang ini,” tegasnya.
Menariknya, pertandingan ini bukan sekadar soal siapa lebih popular, tetapi tafsiran berbeza tentang masa depan cabang, antara kesinambungan dan pembaharuan.
Najwan turut disokong oleh barisan pelapis muda yang terdiri daripada bekas aktivis pelajar, usahawan sosial dan generasi digital.
Pertandingan di Shah Alam turut menyaksikan kehadiran calon ketiga, Noryzal Zainal, menambah warna kepada saingan tiga penjuru yang dinanti ramai.
Sementara itu, di Ampang, penyandang Ketua Cabang Ampang, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, turut mempertahankan jawatan dalam saingan tiga penjuru yang mencabar.
Beliau berdepan Kamri Kamaruddin, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, dan Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.
Altimet yang menang tipis dalam pemilihan lalu kini kembali dengan tawaran kepimpinan bersih, progresif dan inklusif.
Kempen beliau menekankan usaha menyatukan ahli, mengangkat suara rakyat ke peringkat nasional dan menjadikan Ampang sebagai model pentadbiran moden PKR.
Pengundian dijalankan secara digital melalui aplikasi ADIL, bermula dari 11 hingga 20 April 2025. Pemilihan ini bukan hanya akan menentukan hala tuju cabang masing-masing, tetapi menjadi penentu awal kepada wajah kepimpinan PKR menjelang Pilihan Raya Ke-16 (PRU16).
"Ini bukan soal menang jawatan, ini soal ke mana arah Reformasi dibawa seterusnya," ujar Altimet. -- Sinar Harian