Nak bertanding di Segamat? Silakan, ini negara demokrasi - Dr Subra

Astro Awani
Februari 24, 2018 14:22 MYT
Dr Subramaniam menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi Parlimen Segamat pada PRU14. - Astro AWANI
Beberapa hari lalu dua aktivis dilaporkan 'mengintai' untuk bertanding di kerusi parlimen Segamat. Mereka ialah pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy dan bekas pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga.
Bagi penyandangnya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang juga Presiden MIC, beliau tiada masalah untuk berdepan sesiapa pun kerana ini negara demokrasi.
"Di dalam demokrasi, di dalam satu pilihan raya, sesiapa pun boleh bertanding di mana-mana tempat," jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan pada masa sama sedia 'menawarkan diri' untuk kekal mempertahan kerusi berkenaan.
"Secara persendirian semua orang sokong kuat. Oleh itu atas permintaan semua, saya kena menawarkan diri," katanya selepas menyampaikan bantuan kepada pekebun kecil di Segamat pada Sabtu.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Dr Subramaniam memenangi kerusi berkenaan selepas menewaskan calon PKR, Datuk Dr Chua Jui Meng dengan majoriti 1,217 undi.
#calon #Chua Jui Meng #MIC #Parlimen #pilihan raya umum #PKR #PRU14 #S Subramaniam #Segamat