KUCHING: Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) cawangan Kuching sebulat suara bersetuju menamakan Ketua Pemuda SUPP Kuching Eric Tay Tze Kok sebagai calon untuk bertanding di Parlimen Bandar Kuching pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah nama Eric telah dihantar kepada Jawatankuasa Pusat Pilihan Raya Parlimen SUPP bulan lalu sebelum diputuskan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Eric ketika ditemui media terbuka dan menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada prerogatif Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak.

“Setakat ini saya cuma dapat katakan untuk SUPP Cawangan Kuching sahaja. Untuk senarai nama calon lain saya difahamkan telah diserahkan kepada Premier, kita tunggu sahaja pengumuman kelak oleh Premier dan Presiden SUPP (Datuk Seri Dr Sim Kui Hian),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama komuniti di Sharing Downtown di sini pada Jumaat malam.

Eric Tay yang juga Timbalan Ketua Pemuda SUPP negeri berkata pihaknya tekad merampas semula kerusi Bandar Kuching yang dipegang DAP sejak 2004.

Kini kerusi tersebut disandang Dr Kelvin Yii Lee Wuen selepas berjaya mempertahankannya pada PRU14 menewaskan calon Barisan Nasional (BN) ketika itu iaitu Kho Teck Wan daripada SUPP.

“Ini penting bagi memastikan suara Sarawak di Dewan Rakyat lebih kuat terutama ketika membentuk kerajaan baharu.

“Dengan kelebihan (kerusi) yang ada, mandat rakyat yang diberikan kepada GPS akan meletakkan Sarawak sebagai penentu dalam membentuk kerajaan akan datang,” katanya.

Malah ia sekali gus katanya akan memberikan ruang kepada Sarawak dalam mendapatkan hak-haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).