Nik Muhammad Zawawi mengaku dilantik Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas baharu

Bernama
Februari 22, 2022 08:13 MYT
Nik Muhammad Zawawi berkata pelantikannya berkuat kuasa selepas Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada malam 20 Feb itu susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali pada hari sama. - Gambar fail/Astro AWANI
SABAK BERNAM: Ketua Dewan Ulamak Pas Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh hari ini mengesahkan beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas yang baharu berkuat kuasa 20 Feb lepas.
Nik Muhammad Zawawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II berkata pelantikannya berkuat kuasa selepas Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada malam 20 Feb itu susulan peletakan jawatan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali pada hari sama.
"Ya, betul (dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas baharu). Saya seorang daripada anggota sebelum ini maka sebulat suara (setuju dengan pelantikan) apabila Mohd Khairuddin letak jawatan.
"Mohd Khairuddin meletakkan jawatan dengan terhormat dan majlis berbincang untuk letak saya balik (sebagai setiausaha). Saya sebelum ini dah pegang jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulamak ini lebih 10 tahun. Saya pegang lama dan dilantik semula," katanya selepas meninjau Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Sekinchan di sini hari ini.
Pas | Gugurkan Khairuddin selaku Setiausaha Majlis Syura
BACA: Mohd Khairuddin digugurkan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas - Abdul Hadi
Nik Muhammad Zawawi berkata demikian ketika diminta mengesahkan sama ada benar beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu.
Semalam, media melaporkan Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulama Pas berdasarkan peruntukkan Perlembagaan PAS Fasal 8(7).
-- BERNAMA
#Nik Muhammad Zawawi Salleh #Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas #Mohd Khairuddin Aman Razali #letak jawatan