POLITICS

Nik Nazmi: Gabungan Anwar-Rafizi aset penting dalam PKR

Pia Ernadya 16/05/2025 | 23:10 MYT
Nik Nazmi berpandangan, jawatan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR wajar dikekalkan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan yang mampan.
KUALA LUMPUR: Gandingan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dilihat sebagai kombinasi yang terbaik.
Justeru, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berpandangan, jawatan Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR wajar dikekalkan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan yang mampan.
"Kita sepatutnya, bagi saya, kekalkan saudara Rafizi sebagai Timbalan Presiden. Tugas kita di luar sana hendak menang pilihan raya bukan mudah.
"Kadang-kadang bila kita dah jadi kerajaan, kita jadi syok sendiri... kita rasa semua orang suka kita. Tapi bila dah tak jadi menteri, orang pun tak pandang kita dah,"tambahnya.
Beliau berkata demikian semasa program Jelajah Hiruk Rafizi Ramli Zon Kelantan dan Terengganu yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan pada Jumaat.
Tambah beliau, rakyat yang memberi mandat kepada parti juga mampu menarik kembali kepercayaan tersebut jika parti hilang fokus terhadap tanggungjawabnya.
“Gabungan terbaik adalah antara Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Rafizi. Kita tak mahu tindakan kita dalam pemilihan ini meletakkan parti dalam keadaan defensif. Sebaliknya, kita mesti berani ke hadapan,” tegas beliau.
Nik Nazmi turut menegaskan bahawa mesej perjuangan serta pencapaian kerajaan perlu diterjemahkan dengan lebih berkesan kepada rakyat bagi menangkis serangan pembangkang dan memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
#Parti Keadilan Rakyat #pembangkang #kombinasi #serangan pembangkang