KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pindaan perlembagaan parti berkaitan tempoh pemilihan adalah untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Presiden.

Menurutnya, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan baginya, dangkal jika ada ahli UMNO termasuk kepimpinan tertinggi parti berpadangan dan berfikiran sempit sedemikian.

Tegasnya, ahli janganlah pura-pura terlupa bahawa gesaan tersebut adalah usul daripada majoriti bahagian yang sebelum ini mengadakan mesyuarat di bahagian masing-masing.

“Ini merupakan keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan.

“Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu. Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam.

“Saya ingin tegaskan, pindaan perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan, atau team kepimpinan Pusat, Bahagian dan Cawangan, bagi setiap penggal pemilihan, untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 di sini pada Ahad.

Katanya lagi, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai, pemilihan parti akan dijalankan dan pasukan baharu akan dipilih.

“Pasukan yang baharu itu mempunyai masa maksimum lima tahun untuk menumpukan tenaga dan gerak kerja demi kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, kestabilan parti terus terpelihara, bagi menghadapi pilihan raya serta pilihan raya umum seterusnya,” ujarnya.

Satu lagi sejarah bakal tercatat dalam tempoh 76 tahun penubuhan UMNO apabila parti itu akan meminda perlembagaannya pada Ahad bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU15.

Pindaan perlembagaan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan.