Skip to main content

Politik

Ong Kian Ming umum keluar DAP, tidak sertai parti lain atau tanding PRU16, bantu KJ

Sumber: FB Dr. Ong Kian Ming
Ong berkata beliau kekal komited menunaikan janji yang dibuat pada 10 Jan lalu iaitu untuk membantu Khairy Jamaluddin berkempen pada PRU16 sekiranya diberikan kerusi untuk bertanding. - Media Sosial Ong Kian Ming
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang menyertai DAP pada 2012 berkata, keputusan itu dibuat selepas 14 tahun bersama parti berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, Ong berkata sepanjang tempoh tersebut, beliau diberi peluang menyumbang kepada parti dan negara dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Ahli Parlimen Serdang dari 2013 hingga 2018 dan Ahli Parlimen Bangi dari 2018 hingga 2022.

Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari 2018 hingga 2020, selain pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Eksekutif Pusat (CEC) DAP dan AJK Negeri DAP Selangor.

Ong turut merakamkan penghargaan kepada bekas pemimpin DAP, Tony Pua, yang mengundangnya menyertai parti itu, selain bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang memberinya peluang untuk dicalonkan di kerusi Parlimen Serdang dan Bangi serta dilantik sebagai Timbalan Menteri.

"Saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU16)," tegasnya.

Bagaimanapun, Ong berkata beliau kekal komited menunaikan janji yang dibuat pada 10 Jan lalu iaitu untuk membantu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkempen pada PRU16 sekiranya diberikan kerusi untuk bertanding.

Beliau berkata akan terus menyumbang kepada kepentingan negara melalui saluran lain, termasuk menerusi podcastnya, Are We OK, pelbagai jawatan penasihat serta kerjasama dengan individu yang mempunyai minat dan kepentingan yang sama.

Ong turut mengucapkan "Selamat Hari Merdeka" dalam kenyataan berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement