Selepas Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan beberapa individu Melayu lain, hari ini pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari pula memutuskan untuk menyertai DAP.

Abdul Aziz berkata beliau memilih DAP kerana menyedari parti itu sangat efisien dan merupakan parti yang berprinsipkan meritokrasi.

"Dalam pakatan pembangkang, DAP mempunyai paling banyak kerusi Parlimen dan negeri dan ini memberikan saya keyakinan mereka mempunyai kekuatan serta keyakinan untuk maju.

"Saya berharap penglibatan saya dalam parti boleh membantu mempercepatkan pembangkang ke Putrajaya," Abdul Aziz dilaporkan sebagai berkata oleh The Malaysian Insider pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) itu berkata adalah penting bagi masa depan negara mempunyai dua sistem parti dan berpendapat ia satu-satunya cara untuk membawa kemakmuran dan kemajuan untuk rakyat.

Abdul Aziz juga berkata beliau telah memaklumkan kepada Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mengenai keputusan menyertai DAP.

"Saya cari ruang yang lebih besar, satu kumpulan yang akan memberikan saya lebih kebebasan dan tempat di mana bakat serta kepakaran saya akan digunakan sepenuhnya, tetapi saya masih sebahagian daripada gabungan itu yang mahu memberikan pilihan kepada pengundi," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Abdul Aziz bertanding kerusi Parlimen Sabak Bernam di bawah PKR dan kalah.