KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyifatkan pengecualian bayaran faedah pinjaman untuk isi rumah B50 untuk tempoh tiga bulan merupakan kemenangan kepada rakyat.

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH dalam masa sama, kesal kerana pengecualian itu tidak diiktiraf sebagai perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Kata majlis berkenaan, langkah tersebut antara dasar yang diperjuangkan oleh mereka dan ia terkandung dalam perkara 1.7 MoU antara PH dan kerajaan yang ditandatangani pada 13 September lalu.

“Malah pengecualian ini digambarkan sebagai idea kerajaan, walhal ia adalah pendirian konsisten PH yang dilaksanakan dalam semangat menunaikan perkara-perkara yang terkandung di dalam MoU.

“Tanpa pengiktirafan peranan MoU ini, ia mampu menjejaskan keyakinan kami terhadap keikhlasan pihak kerajaan untuk berpegang kepada semangat MoU ini," kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

BACA: URUS program komprehensif bantu peminjam B50 terjejas - PM

Menurut Majlis Presiden PH juga, tindakan itu turut bercanggah dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang berasaskan fakta dan data agar segala perancangan dapat diusahakan bersama dengan perpaduan rakyat.

Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) dengan memberikan sokongan bantuan bayaran balik pinjaman komprehensif kepada kumpulan B50 yang terjejas.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH turut menyatakan adalah penting untuk dijelaskan pada awalnya bahawa pihak kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan gabungan itu bagi memberi pengecualian bayaran faedah kepada peminjam daripada kelompok B50.

“Walaupun pada mulanya terdapat kebimbangan pihak bank-bank, namun setelah siri libat urus ini berjalan dan pandangan pimpinan PH disampaikan dengan jelas, Perdana Menteri telah bersetuju dengan pendirian kami, akhirnya dasar ini dapat dilaksanakan,” tegas kenyataan itu lagi.