Skip to main content

Politik

Pakatan Harapan nafi pertikai kuasa pengampunan Agong, mohon UMNO tidak tuduh tanpa asas

[TB]_Danish Hairudin Asyraf Wajdi Dusuki_FILEPIC
Danish mempersoalkan asas dakwaan yang dibuat UMNO mengenai PH mempertikaikan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menafikan dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, seperti yang didakwa Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin, berkata kenyataan PH sebelum ini jelas menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mempersoalkan asas dakwaan yang dibuat UMNO dan meminta pihak berkenaan menunjukkan bahagian kenyataan PH yang dikatakan mempertikaikan kuasa pengampunan Seri Paduka Baginda.

“Saya cuma mahu tanya satu perkara, ayat mana dalam kenyataan Pakatan Harapan yang mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong?

“Jangan letakkan perkataan yang tidak pernah disebut oleh PH,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Danish, pendirian PH adalah berkaitan usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa, pematuhan terhadap keputusan mahkamah dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Katanya, pendirian tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai serangan terhadap institusi Raja-Raja Melayu atau kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan.

“PH bercakap tentang rasuah, salah guna kuasa, hukuman mahkamah dan kedaulatan undang-undang.

“Itu pendirian terhadap rasuah, bukan serangan terhadap institusi Raja,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa PH sentiasa menghormati Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, menghormati kuasa pengampunan tidak bermakna pihak tertentu perlu berdiam diri daripada membincangkan isu rasuah dan integriti dalam pentadbiran negara.

Danish berkata proses berkaitan Lembaga Pengampunan perlu dibiarkan berjalan mengikut saluran Perlembagaan tanpa sebarang campur tangan atau spekulasi.

“Jangan setiap kali berdepan persoalan tentang rasuah dan integriti, institusi Raja pula diheret masuk untuk mengubah gelanggang perbahasan.

“Jangan jadikan Istana sebagai perisai apabila rakyat bertanya tentang rasuah,” katanya.

Beliau menegaskan PH akan terus mempertahankan prinsip reformasi, menolak rasuah dan menjunjung kedaulatan undang-undang tanpa mempertikaikan kedudukan institusi diraja.

 

 

Must Watch Video

Advertisement