Palit sejarah hitam pada Anwar, Kit Siang tidak akan jadikan Mahathir PM - Ismail Sabri
Bernama
Julai 27, 2017 07:21 MYT
Julai 27, 2017 07:21 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan dibenarkan menjadi perdana menteri oleh pimpinan Pakatan Harapan sekiranya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi hanya diperalatkan untuk menyerang UMNO, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang tentunya tidak akan membiarkan perkara itu menjadi kenyataan atas sejarah hitam atau 'dosa silam' Dr Mahathir ke atas mereka dan keluarga mereka semasa bergelar perdana menteri.
"Dosa Dr Mahathir pada mereka terlalu besar. Macam Lim Kit Siang, anaknya, Lim Guan Eng pernah dipenjara dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Dr Mahathir dan begitu juga dengan Anwar, beliau sendiri dituduh dengan dengan pelbagai tuduhan dan keburukan moral yang tentunya turut memalukan seluruh anggota keluarganya.
"Sebab itu, saya tidak fikir Anwar atau Kit Siang atau keluarga mereka boleh memaafkan dosa besar Dr Mahathir itu," katanya mengulas mengenai kemungkinan Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil kepada 213 penerima pada majlis konvokesyen Sijil Kemahiran Malaysia - Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) Kemas di sini pada Khamis.
Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir dipergunakan oleh Anwar dan Kit Siang untuk menyerang UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas menyedari wujud 'isu peribadi' antara beliau dan UMNO selepas usaha menempatkan anaknya Datuk Seri Mukhriz di kerusi Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti 2013 gagal.
Dalam konteks sama katanya, DAP menggunakan peluang itu untuk menyerang Melayu dan UMNO melalui Dr Mahathir sehingga parti yang ditunjangi orang Melayu terus berpecah sedangkan DAP kekal seperti yang mereka mahukan.
Katanya parti diwakili orang Melayu telah berpecah kepada lima iaitu UMNO, PAS, PKR, Amanah dan PPBM dan dalam skala Pakatan Harapan, DAP kekal sebagai parti dominan.
"Budi bicara atau ikhsan mereka (DAP) amat ditagih dalam memilih atau melantik seorang perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum," katanya.
-- BERNAMA