Pas akan bincang tarikh PRN dengan pimpinan tiga negeri dikuasai PH

Astro Awani
Januari 29, 2023 03:00 MYT
Ahmad Samsuri berkata setakat ini pihaknya belum memutuskan tarikh PRN sehingga perbincangan dilakukan bersama pimpinan negeri yang lain. -Astro AWANI
SETIU: Pas akan menghubungi pimpinan tiga negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dalam waktu terdekat untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan tarikh pilihan raya negeri (PRN).
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pertemuan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan dilakukan pada bila-bila masa.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, setakat ini pihaknya belum memutuskan tarikh PRN sehingga perbincangan dilakukan bersama pimpinan negeri yang lain.
"Sebenarnya bila-bila masa saja apabila saya berada di Kuala Lumpur saya boleh telefon atau WhatsApp kepada mana-mana Yang Berhormat untuk berjumpa secara tidak rasmi,"kata Ahmad Samsuri.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan bahawa parti itu akan membuat keputusan sendiri berhubung tarikh PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Abdul hadi turut menyerahkan kepada PH sama ada membubarkan DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serentak dengan tiga negeri pentadbiran Pas atau sebaliknya.
PRN di enam negeri tersebut dicadang diadakan serentak untuk mengurangkan perbelanjaan pilihan raya serta memberi impak lebih besar sama seperti pelaksanaan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), November lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak terlibat perlu memastikan pilihan raya nanti berjalan dengan teratur agar rakyat dapat turun mengundi di dewan undangan negeri (DUN) masing-masing bagi dalam meraikan demokrasi.
#Ahmad Samsuri Mokhtar #Abdul Hadi Awang #Aminuddin Harun #tarikh pilihan raya negeri