Pas alu-alukan sokongan anggota dan pengundi UMNO

Bernama
September 30, 2018 20:45 MYT
Abdul Hadi berbincang sesuatu bersama Mohd Nazari (kiri) ketika hadir pada Ceramah Perdana bagi PRK Port Dickson di Kampung Teluk Kemang malam tadi. Turut hadir Naib Presiden Pas Idris Ahmad (kanan). --fotoBERNAMA
Pas mengalu-alukan sokongan anggota dan pengundi UMNO terhadap calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di sini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata meskipun UMNO-Pas tidak mempunyai sebarang ikatan, namun beliau percaya anggota dan pengundi UMNO akan menyebelahi parti itu.
"Dalam negara demokrasi, Pas menerima siapa sahaja yang menyokong kita," katanya pada sidang media selepas Ceramah Perdana Pas di Bagan Pinang, di sini, malam tadi yang turut dihadiri calon Pas, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar.
Sebelum ini, UMNO pada 24 Sept lepas bertindak memboikot PRK PD dengan tidak meletakkan calon mereka selain tidak akan menyokong atau membantu mana-mana calon Bebas yang bertanding pada pilihan raya berkenaan.
PRK itu menyaksikan pertandingan tujuh penjuru di antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Nazari dan lima calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad, bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Okt ini sebagai hari mengundi manakala 9 Okt untuk pengundian awal.
-- BERNAMA
#Abdul Hadi Awang #boikot #calon #demokrasi #PAS #pilihan raya kecil #PRK Port Dickson #UMNO