Pas, Bersatu bentuk Jawatankuasa PN Terengganu secara rasmi

Bernama
Mac 22, 2021 08:36 MYT
WAN SUKAIRI: Alhamdulillah, PN Terengganu telah dapat dibentuk secara rasmi dengan jawatankuasa yang lengkap. - Facebook
KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) Terengganu telah membentuk jawatankuasa baharu secara rasmi yang terdiri daripada kepemimpinan Pas dan Bersatu negeri itu, malam tadi.
Ketua Penerangan PN Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta dibantu oleh Pengerusi Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris dan Pesuruhjaya Pas Terengganu Datuk Husain Awang, masing-masing sebagai Naib Pengerusi.
"Alhamdulillah, PN Terengganu telah dapat dibentuk secara rasmi dengan jawatankuasa yang lengkap. Mesyuarat malam tadi dihadiri oleh semua 24 ahli jawatankuasa PN negeri kecuali bendahari iaitu Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid yang kini berada di Sabah.
"Mesyuarat juga telah bersetuju untuk membentuk PN di semua bahagian yang akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen di semua bahagian kecuali di Besut.
"Diharapkan PN Terengganu akan terus bergerak aktif sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil mesyuarat PN Terengganu kali pertama itu juga bersetuju untuk menjemput Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Terengganu bagi menyertai gabungan politik itu dalam berdepan PRU ke-15 akan datang.
Mengenai status kerjasama Pas dan UMNO pula, Wan Sukairi berkata ia masih diteruskan melalui Muafakat Nasional.
-- BERNAMA
#Perikatan Nasional #PN #terengganu #jawatankuasa khas #PRU15 #pilihan raya #Wan Sukairi Wan Abdullah #politik