POLITIK
Pas, Bersatu nafi dakwaan provokasi politik
Tuan Ibrahim berkata, Pas perlu memperkasakan PN dan inilah yang sedang mereka lakukan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemimpin Pas dan Bersatu menyanggah kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang memberi amaran kepada pihak luar agar tidak bertindak sebagai provokator sehingga mendorong partinya keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa Pas tidak pernah berniat melaga-lagakan UMNO, sebaliknya kekal fokus untuk memperkukuh Perikatan Nasional (PN).
“UMNO tak perlu dilaga-lagakan, kerana mereka memang berlaga sesama sendiri, dan kami pun tak berhasrat begitu.
“Bagi Pas kita perlu memperkasakan PN dan inilah yang sedang kami lakukan,” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi PN turut menegaskan, kekeliruan hala tuju UMNO sendiri jelas apabila pendiriannya terhadap kerjasama dengan DAP berbeza antara negeri dan pusat.
“Di Melaka, UMNO mengisytiharkan perang terhadap DAP. Di Pahang pula, UMNO berasa selesa bekerjasama dengan DAP.
“Di peringkat pusat, UMNO kelihatan tidak tentu arah, mengenai URA (Akta PSB 2025) mereka menentang cadangan menteri DAP, namun tetap bersama dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Di Johor, keadaannya berbeza sama sekali. Inilah caca-marba dan hala tuju politik UMNO hari ini,: ujarnya.
Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini, Zahid memberi amaran kepada pihak luar agar tidak memprovokasi UMNO atau mengeruhkan keadaan sehingga mendorong parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan.
Tambah beliau bahawa keputusan UMNO menyertai kerajaan perpaduan bukanlah mudah dan dibuat demi mengutamakan kepentingan negara.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata penentangan terhadap Zahid dibuat susulan tindakan beliau yang didakwa mengkhianati dasar serta keputusan parti UMNO sendiri.
Tun Faisal, yang juga bekas ahli UMNO, mendakwa Zahid bersama beberapa pemimpin UMNO lain telah meninggalkan pendirian “No Anwar, No DAP” seawal tahun 2020, sekali gus menyimpang daripada mandat serta prinsip perjuangan asal parti.
“Saya bukan menentang UMNO, tetapi beliau (Zahid) yang mengakibatkan UMNO tergelincir dari landasan perjuangan dan menjadi sebahagian daripada kegagalan kerajaan PH-BN hari ini,” katanya kepada Astro AWANI.
Pada PAU 2022, Zahid melaungkan slogan “No Anwar, No DAP”, mencerminkan pendirian tegas UMNO ketika itu terhadap kedua-dua parti berkenaan.
Namun, ungkapan tersebut kemudiannya menjadi sindiran apabila beliau bekerjasama dengan DAP, parti komponen PH bagi membentuk kerajaan perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tiada parti memperoleh majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).