Usaha PKR menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad sebagai calon kompromi untuk jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu tidak mendapat sokongan PAS dan DAP.

Sumber dalaman Pakatan Rakyat memberitahu, PAS dan DAP tidak menerima pencalonan Dr Idris kerana Adun Ijok itu juga dilihat hanya akan menjadi boneka kepada tokoh-tokoh tertentu dalam PKR.

DAP dan PAS kini dikatakan lebih selesa untuk menerima Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Tokoh-tokoh penting dalam PAS dan DAP lebih menerima Azmin berbanding Wan Azizah dan Dr Idris untuk menggantikan Tan Sri Khalid.

"Ramai yang sangka PAS dan DAP tidak boleh terima Azmin tetapi dalam politik macam-macam perkara boleh berlaku.

"Azmin jauh lebih kredibel berbanding Wan Azizah dan Dr Idris, jadi bagi PAS dan DAP, lebih baik Azmin dipilih menggantikan Tan Sri Khalid," kata sumber tersebut kepada Astro AWANI.

Seorang pemerhati politik menjangkakan akan ada usaha dikalangan pemimpin PKR yang tidak sehaluan dengan Azmin untuk memastikan sama ada Wan Azizah atau Dr Idris dipilih menggantikan Abdul Khalid.

Kata pemerhati politik itu, akan ada usaha dikalangan pemimpin PKR yang cuba untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap Azmin supaya tidak dipilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Sebelum ini mereka menggunakan hujah kalau benda baik yang kita nak buat, musuh akan cakap tidak baik.

"Dalam kes ini, mereka akan memberi gambaran Azmin tidak bagus dan banyak masalah untuk bina persepsi yang buruk terhadap Adun Bukit Antarabangsa itu," katanya.

Situasi politik di Selangor menjadi perhatian ekoran usaha PKR untuk menyingkirkan Abdul Khalid dari jawatan Menteri Besar yang disandangnya sejak 2008.

PKR mengarahkan Abdul Khalid meletak jawatan atas alasan sering membuat keputusan tanpa merujuk kepada parti.

Wan Azizah dinamakan oleh PKR sebagai calon untuk menggantikan Abdul Khalid namun tidak dipersetujui oleh PAS.

Abdul Khalid yang diberikan surat tunjuk sebab dua hari yang lalu dipanggil menghadap Lembaga Disiplin PKR petang ini.

Bagaimanapun The Malaysian Insider melaporkan, Abdul Khalid dijangka tidak akan menghadap Lembaga Disiplin PKR petang ini sebaliknya hanya menyerahkan surat tunjuk sebab pagi tadi.