Pas kekal pendirian enggan bentuk kerjasama dengan PH pada PRU15

Nur Fazlizai Ali
April 22, 2022 07:06 MYT
Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama dengan PH tidak akan berulang lagi, sebaliknya, Pas akan meneruskan kerjasama bersama parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN). - Gambar fail
MARANG: Pas teguh dengan pendirian tidak akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama dengan PH tidak akan berulang lagi, sebaliknya, Pas akan meneruskan kerjasama bersama parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).
“Sehingga kini dengan parti gabungan PN dan dengan UMNO yang jadi Perdana Menteri kita akan usahakan supaya kekal… (kerjasama dengan PH) tak berulang, Insya-Allah tak berulang…” kata beliau kepada wartawan selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusil di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, parti berkenaan menghormati perbezaan pandangan mengenai pendekatan khemah besar dalam gabungan pembangkang bagi menghadapi PRU15.
Mohamad, bagaimanapun menegaskan, pendekatan itu tidak akan merangkumi parti dalam kerajaan iaitu UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
#PAS #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #PRU15