Pas nafi keluar PN - Tuan Ibrahim

Umavathi Ramayah
Mac 13, 2023 07:54 MYT
Tuan Ibrahim berkata, soal keluar daripada PN tidak pernah timbul atau dibincangkan dalam PAS setakat ini. - Foto fail/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pas menafikan dakwaan kononnya parti itu akan keluar daripada Perikatan Nasional (PN).
Spekulasi itu bertiup kencang sejak dua hari lalu susulan ketiadaan pemimpin Pas pada Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) 2023 Bersatu sedangkan 'rakan sekutu' mereka daripada Gerakan hadir.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, soal itu tidak pernah timbul atau dibincangkan dalam parti setakat ini.
"Tak ada, tak pernah timbul pun," katanya ketika ditanya pemberita mengenai isu itu di Parlimen, di sini pada Isnin.
Tuan Ibrahim menjelaskan, pemimpin parti itu terpaksa hadir ke Mesyuarat Agung Pas di kawasan masing-masing menyebabkan mereka tidak dapat memenuhi jemputan Bersatu.
"Kami telah dimaklumkan dan ada jemputan, tapi kebetulan Pas kawasan ada mesyuarat agung, sebahagian besar terpaksa merasmikan (Mesyuarat Agung) di kawasan masing-masing.
"Saya sendiri pun merasmikan (mesyuarat) lima kawasan dalam dua hari (Sabtu dan Ahad lalu), saya check dengan kawan-kawan yang lain, kebanyakan ada jemputan (dari Bersatu), kami dah maklumkan kepada kepimpinan Bersatu. Tak ada isu," jelasnya.
Pas mewakili sebahagian besar gabungan PN dengan 43 kerusi Parlimen dimenangi parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
#Perikatan Nasional #Perhimpunan Agung Tahunan #Pas nafi keluar parti #Tuan Ibrahim Tuan Man