POLITIK

Pas sahkan calon Pengerusi PN minggu depan - Abdul Hadi

Sinar Harian 02/01/2026 | 04:30 MYT
Abdul Hadi ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan dilantik dalam kalangan pemimpin parti itu dan keputusan mengenainya akan diputuskan selewatnya minggu depan.

Menurutnya, keputusan muktamad berhubung perkara itu akan diputuskan menerusi mesyuarat bersama parti komponen gabungan itu termasuk kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Mengenai Pengerusi PN kita akan bincang dalam mesyuarat PN kerana kita masih ada anggota dia, bukan semua letak jawatan.

"Mesyuarat PN bersama pemimpin Bersatu yang masih ada. Yang letak jawatan terpulang mahu hadir ke tak.

"Kita akan bincang, dalam Pas pun kita akan bincang. Kita akan bincang secepat mungkin.. Mungkin minggu depan.. Calon daripada Pas, insya-Allah," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, ditanya sama ada beliau sendiri berhasrat menyandang jawatan itu, Abdul Hadi tidak memberikan kata putus, sebaliknya menyatakan bahawa beliau kini uzur.

Katanya, masih ramai calon berkaliber daripada Pas yang boleh menyandang jawatan tersebut.

"Memang saya ni orang kata dalam keadaan keuzuran.. Tapi kita akan bincang dalam parti. Dan ada orang dalam Pas ada banyak (calon). (Ada) ahli politik dalam kalangan teknokrat pun ada," ujar beliau.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN dipercayai mempunyai kaitan dengan pelbagai desakan pemimpin Pas susulan krisis politik di Perlis, baru-baru ini.

Keputusan itu dibuat selepas lima tahun beliau menerajui PN sejak 7 Ogos 2020. -- Sinar Harian




#calon Pengerusi PN #Abdul Hadi Awang #Muhyiddin Yassin #letak jawatan #PAS #Perikatan Nasional #terkini