Pas sedia lawan Anwar jika UMNO undur diri

Sinar Harian
September 15, 2018 08:29 MYT
Abdul Hadi (kiri) berkata pihaknya tidak akan sesekali memberi kemenangan percuma kepada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - BERNAMA
Pas bersedia meletakkan calon di PRK Port Dickson sekiranya UMNO enggan berbuat demikian.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya tidak akan sesekali memberi kemenangan percuma kepada calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita tak mahu lagi percuma. Kalau tak ada orang bertanding, Pas boleh bertanding.
"Sekurang-kurangnya kita boleh adakan latihan bersama untuk pilihan raya akan datang. Kalah menang itu cerita lain," katanya dalam sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas ke-64, hari ini.
Sebelum ini, Pas berpendirian akan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding dalam PRK Port Dickson.
Manakala, UMNO hanya akan membuat keputusan selepas mesyuarat biro politiknya pada 24 September.
PRK Port Dickson terpaksa diadakan susulan tindakan penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.
#Abdul Hadi Awang #Anwar Ibrahim #Danyal Balagopal Abdullah #Muktamar Tahunan PAS #PAS #PKR #Port Dickson #PRK #UMNO