PAS disifatkan hari ini terlalu bersemangat untuk meneruskan perjuangan hududnya sehingga sanggup mengetepikan sahabat mereka di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali bagaimanapun berkata, misi yang dilihat tidak mustahil itu berkemungkinan memerlukan sokongan DAP dan PKR terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Saya melihat perubahan dalam PAS hari ini apabila pucuk pimpinan mereka didalangi barisan ulama.

"Jadi sudah pasti mereka hendak teruskan cita-cita hudud agar terlaksana.

"PAS untuk setahun dua ini memang tidak kisah hubungannya dengan orang lain, matlamatnya, hudud tercapai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: PAS akan arah anggotanya letak jawatan jika hubungan dengan DAP putus

Dr. Mohd. Fuad mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang dilaporkan bersedia mengarahkan anggotanya melepaskan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang jika Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan DAP.

BACA: Muktamar kecoh seketika kerana isu 'putuskan hubungan dengan DAP'

Dalam pada itu sebuah portal melaporkan rasa kecewa Ketua Pemuda PAS Cawangan Jelebu, Mohd Faizal Fadli Idrus dan 12 lagi ahlinya yang mengisytiharkan keluar parti kerana kecewa dengan keputusan pemilihan parti itu dalam Muktamar ke-61 di Kuala Selangor baru-baru ini.

Jelas Mohd Faizal, pihaknya kini telah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan terkini yang menyaksikan ulama menyapu bersih dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

BACA: Putus hubungan dengan DAP, ketetapan Muktamar PAS jelas - Dr Mujahid

Tambah Dr. Mohd. Fuad, masa depan PAS sama ada akan bersama DAP dan PKR semula dilihat bergantung dalam masa dua tahun ini.

"Selepas dua tahun kita akan lihat ke mana arahnya, ada kemungkinan bersama DAP dan PKR semula namun ia bersifat ad-hoc untuk kelancaran PRU.

"DAP dan PKR juga akan berfikiran sama demi memudahkan laluan mereka ke Putrajaya kelak," ujarnya.

Ketika ditanya kemungkinan PAS bersatu dengan UMNO semasa PRU nanti, ini kata Dr. Mohd. Fuad;

"Tidak mungkin, PAS tidak suka Barisan Nasional (BN) atau UMNO."

BACA: Pakatan Rakyat sudah tiada lagi - Kit Siang

Pada Khamis, Penasihat DAP, Lim Kit Siang beranggapan bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud selepas parti sekutunya, PAS memutuskan tahaluf siyasi atau hubungan politik dengan DAP pada Muktamar tahunannya, Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan, Kit Siang mempersoalkan tindakan PAS yang mahu merujuk usul itu ke Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat untuk dikaji.

Katanya, berdasarkan perlembagaan parti itu, khususnya Perkara 7, ia menyatakan bahawa Muktamar PAS adalah badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti selagi tidak melanggar hukum yang terkandung dalam Quran dan Sunnah.