Pas tiada masalah jalin kerjasama dengan PN, Bersatu - Hadi

Astro Awani
Julai 31, 2020 05:13 MYT
Abdul Hadi berkata, keputusan UMNO tidak menyertai PN itu tidak mengejutkan. - Gambar fail
Pas akan terus memperkasakan jalinan kerjasama antara parti, termasuk dengan UMNO, menerusi Muafakat Nasional (MN).
Bagaimanapun, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama dengan parti dalam Pakatan Nasional (PN) tetap akan diteruskan.
Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, tiada masalah untuk meneruskan kerjasama dengan parti dalam PN, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Saya rasa, kita (MN) sama-sama setuju untuk (jalin kerjasama) dan dalam masa sama kita akan teruskan (kerjasama) dengan PN sebagai kerajaan.
"Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa sudah pun nyatakan perkara ini. Dan kenyataan saya sama dengan kenyataan beliau (Annuar)," katanya di sini, hari ini.
Semalam, UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai PN, sebaliknya akan memperkasakan MN bersama Pas dan komponen BN.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, perkara itu tidak mengejutkan dan ia terpulang kepada parti masing-masing.
"Ini terpulang kepada parti masing-masing. Alhamdulillah kita serah kepada majoriti dan jawatankuasa yang dilantik, serta perbincangan akan dibuat," ujarnya.
Sebelum ini, Annuar memberitahu, MN telah membuat pelawaan rasmi kepada Bersatu untuk menyertai pakatan itu dan perkara itu telah dibincang melibatkan semua ketua parti sejak beberapa bulan lalu.
#Abdul Hadi Awang #Annuar Musa #Barisan Nasional #kerajaan #Malaysia #Muafakat Nasional #Parlimen #PAS #Perikatan Nasional #politik #PPBM #presiden #Tan Sri Annuar Musa #UMNO