Pas tiada niat umum Muafakat Nasional bubar atau pupus - Mohd Amar

Wanna Abd Rahim
Mei 12, 2022 08:44 MYT
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Pas tidak pernah berniat untuk mengumumkan pembubaran Muafakat Nasional (MN) atau menyatakan MN telah pupus, sebaliknya kecelaruan mengenai hala tuju MN ditimbulkan oleh sesetengah pemimpin dari UMNO.
Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah Pas pada waktu ini katanya mengambil pendekatan tunggu dan mengikuti perkembangan semasa.
"Kita tunggu perkembangan, kita harap kawan kawan kita dalam UMNO berfikir kembali.
"Hari ini kita tengok kecelaruan dalam Muafakat Nasional kerana ada kepentingan peribadi, politik peribadi dalam sesetengah pemimpin UMNO dan perkara ini UMNO kena selesai," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Pas Kelantan yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhamad ke IV di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob serta barisan kepimpinan Pas Kelantan dengan dianggarkan lebih 30,000 rakyat Kelantan menghadiri jamuan Hari Raya itu.
Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan memaklumkan UMNO yang memulakan kenyataan mendakwa MN terkubur dan MN sudah mati dan sebagainya.
"Bermula dengan UMNO Terengganu yang mengeluarkan kenyataan kata nak lawan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15, diikuti dengan UMNO Kelantan yang mengumumkan membubar MN peringkat Kelantan.
"Pas katanya tidak pernah menutup pintu rundingan dan kerjasama dengan UMNO sebaliknya seperti yang dinyatakan oleh Presiden Pas Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang, kerjasama dalam MN perlu diperluaskan lagi dengan penyertaan parti dan badan bukan kerajaan yang mendokong penyatuan ummah dan umat Melayu," jelasnya.
Pas katanya masih kekal pendirian memperkasakan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional.
Sementara itu mengulas mengenai Rang Undang Undang Akta Antilompat Parti, Mohd Amar menjelaskan Pas menyerahkan kepada keputusan yang akan dibuat kerajaan.
"Pas setuju dengan Akta Antilompat Parti, kita serahkan kepada Kabinet membuat keputusan.
"Soal Akta Antilompat parti ini dah lama jadi agenda kerajaan Kelantan kerana kita pernah pinda enakmen anti lompat parti peringkat Dewan Undangan Negeri, namun tak diluluskan peringkat Pusat," katanya.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dapat dibentangkan dan diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Bagaimanapun beliau berkata ia terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada RUU itu dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan Julai ini atau diadakan awal pada persidangan khas.
#Muafakat Nasional #PAS #Mohd Amar Nik Abdullah #UMNO #Antilompat parti