Pas tidak akan gopoh minta PRU15 diadakan segera - Takiyuddin

Muhafandi Muhamad
November 22, 2021 04:07 MYT
Soal bila PRU15 akan diadakan hanya ditentukan oleh Perdana Menteri, bukannya parti politik, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - Gambar fail
KOTA BHARU: Pas tidak akan mengambil sikap tergopoh-gapah meminta supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Sebaliknya, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, soal PRU15 itu akan ditentukan oleh Jemaah Kabinet dan bukannya parti politik.
“Yang menentukan pilihan raya awal itu Kabinet bukan parti politik… biarlah PM (Perdana Menteri) tentukan bila tarikh sewajarnya bukannya mana-mana parti,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Jalan Sultanah Zainab di sini, pagi tadi.
Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Barisan Nasional (BN) supaya PRU15 diadakan awal.
Antara yang meminta PRU15 diadakan segera ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hassan susulan kemenangan bergaya BH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
#PAS #PRU15 #Perdana Menteri #Takiyuddin Hassan